Shamsul Bantah Pemansuhan Subsidi Gula

Diterbitkan: Jumaat, 25 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin membantah pemansuhan subsidi sebanyak 34 sen berkuatkuasa pada Sabtu.

Beliau berkata, alasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan pemansuhan subsidi itu atas faktor kesihatan rakyat tidak sepatutnya dibangkitkan dalam pembentangan Belanjawan 2014.

"Ini kerana kesihatan adalah soal pendidikan (kesedaran rakyat). Ada juga orang tidak sakit tetapi suka makan gula," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, Jumaat.

Shamsul yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata kesan daripada pemansuhan subsidi itu harga barang yang melibatkan penggunaan gula seperti kuih pasti akan meningkat.

"Pada saya, pemansuhan itu tidak patut dilakukan kerana ia membebankan mereka yang tinggal di kampung," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bahawa langkah mengurangkan subsidi gula sebanyak 34 sen itu bertujuan untuk mengurangkan jumlah pesakit diabetis di negara ini yang agak membimbangkan.

"Berdasarkan statistik, terdapat 2.6 juta rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit diabetis dan jika tidak dikawal akan mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti penyakit jantung dan kerosakan buah pinggang.

"Saya menyeru agar kita bersama-sama jaga kesihatan, kurangkan manis dalam makanan dan minuman. Tambahkan manis dalam senyuman," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan