RM40 Juta Untuk Lebar & Dalamkan Sg Bertam

Diterbitkan: Jumaat, 25 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi melebarkan dan mendalamkan Sungai Bertam di Cameron Highlands, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata peruntukan itu sebagai langkah segera untuk mengelak tragedi banjir lumpur di Lembah Bertam, Ringlet, pada Rabu lepas berulang.

Ketika membentangkan Bajet 2014 di Parlimen hari ini, beliau berkata kerajaan komited dalam menyediakan persekitaran yang bersih, selamat, sihat dan produktif bagi generasi masa kini dan hadapan.

Antara program yang akan dilaksanakan ialah Pelaporan Karbon Kebangsaan atau 'MyCarbon' oleh sektor korporat, penubuhan Tabung Amanah Konservasi Nasional bagi memulihara kawasan terosot dan hutan simpan kekal serta pengurusan sumber asli.

"Bagi memperkukuh pembangunan teknologi hijau negara, kerajaan akan memberi galakan Elaun Cukai Pelaburan ke atas pembelian peralatan teknologi hijau dan pengecualian cukai pendapatan ke atas penggunaan perkhidmatan serta sistem teknologi maklumat," katanya. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata ke arah menggalakkan amalan gaya hidup hijau, Yayasan Hijau Malaysia akan ditubuhkan yang akan berperanan dalam mempromosi dan meningkatkan penyertaan badan korporat, masyarakat dan awam terhadap teknologi hijau.

"Untuk itu, geran pelancaran sebanyak RM15 juta akan disediakan sebagai dana permulaan untuk Yayasan Hijau Malaysia," katanya. Beliau berkata bagi terus meningkatkan kecekapan dan penjimatan penggunaan tenaga elektrik, kerajaan akan melaksanakan audit tenaga dan memasang retrofit di bangunan-bangunan kementerian.

Perdana menteri berkata bagi 2014, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pertanian dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah dikenal pasti untuk pelaksanaan inisiatif ini.

"Selain itu, kerajaan juga akan memasang solar panel di bumbung bangunan kementerian-kementerian serta menggantikan lampu sedia ada kepada lampu LED secara berperingkat," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan