Dua Rakyat Malaysia Dinamakan Sebagai Suspek Pembakaran Hutan Di Indonesia

Diterbitkan: Jumaat, 25 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dua rakyat Malaysia yang berpangkat tinggi dalam syarikat subsidiari Malaysia telah dikenal pasti sebagai suspek yang berperanan memulakan kebakaran hutan untuk membersihkan tanah bagi ladang-ladang di Riau pada Jun 2012.

Walau bagaimanapun, 'Jakarta Post' pada Jumaat melaporkan bahawa kedua-dua rakyat Malaysia yang bekerja dengan PT API itu masih belum ditangkap, mengikut jurucakap polis Riau Adj.Sr.Comr Guntur Aryo Tejo yang bercakap kepada agensi berita Antara pada Khamis.

"Kami masih menjalankan siasatan dalam kes itu," kata Guntur, sambil menambah suspek yang dikenal pasti dengan singkatan TKY dan DKRS didakwa membantu penduduk tempatan membakar tanah hutan di daerah Riau untuk mengosongkan tanah bagi ladang kelapa sawit.

Jun lalu , wilayah Riau telah diselaputi jerebu akibat kebakaran hutan secara besar-besaran, memaksa beribu-ribu orang berpindah dari kawasan itu.

Negara-negara jiran seperti Singapura dan Malaysia turut memfailkan aduan terhadap Indonesia kerana jerebu merebak ke wilayah mereka.

Sebelum ini, polis menamakan tujuh syarikat lain kerana didakwa terbabit dalam mencetuskan kebakaran hutan, iaitu PT JJP, PT LIH, PT BMS, PT BBHA ,PT RUJ ,PT SPM dan PT SRL, menurut Antara.

Walau bagaimanapun, tiada lagi suspek individu telah dinamakan daripada tujuh syarikat ini. Siasatan kes itu berterusan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan