223,000 Unit Rumah Harga Berpatutan Akan Dibina Tahun Depan

Diterbitkan: Jumaat, 25 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 223,000 unit rumah dengan harga berpatutan, akan dibina oleh kerajaan dan sektor swasta tahun depan, sebagai usaha untuk meningkatkan akses pemilikan rumah oleh rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata daripada jumlah itu sebanyak 16,473 unit rumah akan dibina oleh Jabatan Perumahan Negara (JPN) menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan peruntukan berjumlah RM578 juta.

"Di samping itu JPN juga akan membina 600 unit Program Perumahan Rakyat Disewa dan Perumahan Rakyat Bersepadu dengan peruntukan RM146 juta," kata Najib ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

PPR ialah program kerajaan untuk penempatan semula setinggan dan memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah.

Rumah-rumah PPR dijual pada paras harga antara RM30,000 dan RM35,000 seunit di Semenanjung Malaysia dan RM40,500 seunit untuk Sabah serta Sarawak.

Najib berkata 80,000 lagi unit rumah akan dibina menerusi program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dengan peruntukan RM1 bilion dan setiap unit rumah dijual 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

Selain itu, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membina 26,122 unit rumah yang meliputi 15,122 unit Rumah Mampu Milik; 3,000 unit Rumah Idaman Rakyat dan 8,000 Rumah Mesra Rakyat (RMM).

"Kerajaan juga memperkenalkan kategori baharu RMM dengan harga jualan antara RM45,000 hingga RM65,000 selain memberi subsidi antara RM15,000 hingga RM20,000 seunit," kata Najib.

Perdana menteri berkata untuk menggalakkan sektor swasta membina lebih rumah kos rendah dan sederhana, kerajaan akan memperkenal Skim Perumahan Mampu Milik Swasta atau MyHome yang menawarkan subsidi RM30,000 seunit kepada setiap pemaju.

Katanya MyHome adalah projek perumahan baharu yang diluluskan mulai 1 Jan 2014 dengan peruntukan sebanyak RM300 juta di bawah seliaan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Najib berkata keutamaan MyHome akan diberi kepada pemaju yang membina rumah kos rendah dan sederhana di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi dan ia terhad kepada 10,000 unit rumah pada tahun depan.

Skim MyHome itu terbuka kepada pembeli rumah pertama dengan pendapatan bulanan isi rumah maksimum RM3,000 bagi kos rendah dan maksimum RM6,000 bagi kos sederhana," katanya.

Di samping itu, Najib berkata sejumlah RM100 juta disediakan kepada Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia untuk melaksanakan program baik pulih dan meningkatkan keselesaan serta mengindahkan rumah kos rendah milik kerajaan.

"Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuk penyelenggaraan lif, mengecat semula rumah, pembersihan longkang dan ruang buangan sampah serta membaik pulih padang permainan," katanya.

Kerajaan juga memperuntukkan RM82 juta bagi membaik pulih sebanyak 20 projek rumah terbengkalai melibatkan 8,197 buah rumah, katanya.

Selain itu, Najib turut mengumumkan penubuhan Majlis Perumahan Negara untuk merangka strategi dan pelan tindakan secara menyeluruh, menyelaras aspek perundangan dan mekanisme harga hartanah serta memastikan penyediaan rumah dengan lebih cekap dan cepat.

Katanya keanggotaan majlis itu terdiri daripada agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, JPN, PR1MA, SPNB dan sektor swasta. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan