Mah, Cheah Mahu Tubuh Jawatankuasa Kaji Kemapanan Model Politik BN

Diterbitkan: Khamis, 24 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mah (kanan) bersama Dr Cheah menunjukkan risalah manifesto mereka pada sidang akhbar sempena Pemilihan Parti Gerakan 2013 di Menara PGRM di sini, Khamis. Foto BERNAMA
Mah (kanan) bersama Dr Cheah menunjukkan risalah manifesto mereka pada sidang akhbar sempena Pemilihan Parti Gerakan 2013 di Menara PGRM di sini, Khamis. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Calon Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan calon Timbalan Presiden Dr Cheah Soon Hai bercadang menubuhkan jawatankuasa penyelidik bagi mengkaji kemapanan model politik Barisan Nasional (BN) jika menang pada pemilihan parti itu.

Mah berkata, jawatankuasa itu perlu bagi mengkaji dan mengubah persepsi sesetengah rakyat yang menganggap parti-parti komponen BN dikuasai oleh sebuah parti, iaitu Umno.

"Kami (Gerakan) mahu memainkan peranan konstruktif dan BN harus lebih konsultatif," katanya pada sidang media selepas melancarkan manifesto bersama Dr Cheah, yang juga pengerusi Gerakan Kedah, di Ibu pejabat Gerakan di sini, Khamis.

Mah berkata, melalui cadangan jawatankuasa penyelidik itu Gerakan boleh memainkan peranan konstruktif dalam BN seterusnya memastikan ia memenangi kembali sokongan rakyat.

"Inisiatif ini akan melibatkan pihak berkepentingan dari sektor awam dan swasta termasuk badan bukan kerajaan (NGO), persatuan, dewan perniagaan dan badan profesional," katanya.

Menurut manifesto itu, hasil laporan jawatankuasa itu akan dibentangkan kepada Majlis Tertinggi BN pada Jun 2014.

Mah berkata, BN harus memastikan semua parti komponen mengekalkan hubungan siraturahim dan bekerjasama bagi menunjukkan semangat perpaduan sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat untuk terus menyokong BN.

Mah, yang merupakan pemangku setiausaha agung parti, berdepan dengan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Teng Chang Yeow bagi jawatan tertinggi parti itu, manakala Dr Cheah dicabar Pengerusi Gerakan Bahagian Kepong Ma Woei Chyi untuk jawatan timbalan presiden.

Mengenai manifesto itu, Dr Cheah berkata ia juga merangkumi cadangan penubuhan 'Dialog Pintar Gerakan' yang menghubungkan parti dengan kesatuan pekerja, dewan perniagaan, badan pemikir dan NGO, serta memperkenalkan anggota muda parti yang bakal memikul tanggungjawab penting dalam parti.

"Selain itu, kami juga akan menubuhkan platform bagi anggota muda parti untuk mengasah bakat berpidato supaya mereka juga diberi peluang bersuara kerana mereka inilah yang akan menerajui kepimpinan parti pada masa akan datang," katanya.

Sejumlah 2,298 anggota perwakilan kebangsaan layak mengundi pada pemilihan parti itu 26 dan 27 Oktober. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan