Isteri Bekas Pengerusi Bernama Meninggal Dunia

Diterbitkan: Khamis, 24 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datin Salehatun Salehuddin, isteri bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Prof Datuk Abu Bakar Hamid, meninggal dunia pada Khamis akibat sakit tua.

Allahyarham Salehatun, 76, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Taman Paramount Petaling Jaya pada 5.30 pagi ketika sedang tidur di biliknya.

Menurut menantu Allahyarham, Norliza Mohd Salleh, dia cuba mengejutkan arwah daripada tidur namun apabila tiada reaksi dia memaklumkan hal itu kepada suaminya, Ahmad Muzafar Abu Bakar dan bapa mentuanya.

"Suami saya menghubungi ambulans namun apabila mereka tiba pihak ambulans mengesahkan bahawa ibu mentua saya telah meninggal dunia," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Masjid Tun Abdul Aziz (Masjid Bulat) di sini, Khamis.

Sementara itu Abu Bakar, yang menjadi Pengerusi Bernama dari 1996 hingga 2000, berkata pada pagi Khamis, beliau tidur sendirian di biliknya.

"Arwah pula berada di biliknya sendiri dan setelah dimaklumkan oleh menantu, saya bergegas menemuinya di bilik dan mendapati arwah telah meninggal dunia," katanya.

Abu Bakar berkata, Allahyarham isterinya merupakan bekas guru dan setelah bersara, Salehatun membuka sebuah tadika sehingga tahun 1990.

"Arwah menutup tadika itu setelah mengikuti saya ke Amerika Syarikat untuk memenuhi satu program yang perlu saya habiskan dalam tempoh dua tahun," katanya.

Abu Bakar berkata, mereka melayari alam rumah tangga selama 47 tahun dan dikurniakan empat anak serta 10 cucu.

"Kami tidak pernah bergaduh kerana sering mengamalkan solat berjemaah dan setiap hari kami akan bermaaf-maafan," katanya.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Tun Abdul Aziz dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara sejurus selesai solat Zohor. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan