Tiada Tindakan Kerana Teguran Husam Perkara Biasa - Hadi Awang

Diterbitkan: Rabu, 23 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: PAS tidak akan mengambil tindakan terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri Salor Datuk Husam Musa yang mengkritik secara terbuka pentadbiran kerajaan PAS Kelantan baru-baru ini.

Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ini kerana PAS melihat kritikan Husam itu hanya satu teguran biasa yang turut dibuat oleh orang lain.

Kritikan itu juga tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Pusat dan Lajnah Politik PAS Kelantan, di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada mesyuarat itu membincangkan isu Husam yang mengkritik kerajaan Kelantan berhubung beberapa isu dalam persidangan dewan undangan negeri (DUN) baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata PAS Pusat juga tidak menerima permohonan PAS Kelantan agar tindakan diambil terhadap Husam.

Dalam persidangan DUN Kelantan pada 8 Oktober lepas, Husam yang juga Naib Presiden parti dan bekas exco kanan kerajaan Kelantan, membuat kejutan apabila membidas beberapa tindakan kerajaan negeri yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang daripada konsep ketelusan, antaranya isu pembalakan Hutan Simpan Kekal Ulu Sat di Machang dan kenaikan tarif air yang berkuat kuasa Ogos lalu.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang diminta mengulas isu berkenaan, berkata mesyuarat turut mendengar penjelasan daripada Husam.

"Alhamdulillah mesyuarat berjalan dengan baik dan kita rasa beruntung kerana dapat penjelasan secara langsung antara Husam dan kerajaan negeri," katanya.

Husam yang turut hadir pula memberitahu pemberita beliau berpuas hati dengan perbincangan yang diadakan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan