Selangor Akan Bina 35,000 Rumah Mampu Milik Menjelang 2018

Diterbitkan: Rabu, 23 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Abdul Khalid Ibrahim.
Abdul Khalid Ibrahim.

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan membina sebanyak 35,000 unit rumah mampu milik menjelang 2018 untuk memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana berpeluang memiliki kediaman yang selesa.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, rumah-rumah tersebut akan dibina dengan keluasan minimum 800 kaki persegi dan dijual pada harga tidak melebihi RM150, 000 seunit.

"Kita telah mengenal pasti satu tapak di Seksyen 16 Bandar Baru Bangi sebagai projek perintis untuk pembinaan rumah mampu milik yang akan dimulakan pada tahun depan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, Rabu.

Abdul Khalid berkata, pembinaan rumah itu akan diselaraskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di bawah Skim Rumah Selangorku dengan geran RM100 juta menggunakan wang rizab negeri.

"LPHS bercadang untuk membangunkan projek perumahan mampu milik menggunakan teknik pre-fabricated kerana kaedah ini lebih jimat, cepat dan mengurangkan tenaga kerja," katanya.

Menurut beliau, penggunaan teknik pre-fabricated amat sesuai kerana ia turut digunakan secara meluas di negara-negara luar di samping dapat menjimatkan kos.

Pada masa sama, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri turut akan mempertimbangkan untuk menyewa sebanyak 1,700 unit rumah itu kepada golongan yang kurang berkemampuan untuk membeli rumah tersebut.

Ketika ditanya mengenai kadar sewa untuk rumah tersebut Abdul Khalid berkata, ia ditentukan bersesuaian dengan jumlah pendapatan golongan tersebut.

"Apabila projek tersebut sudah siap 75% barulah kita akan buka tawaran kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk menyewa rumah tersebut," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan