Sungai Limau: Penyokong Parti Diminta Bersikap Tertib & Berdisiplin

Diterbitkan: Selasa, 22 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

YAN: Para penyokong parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dinasihati bersikap tertib dan berdisiplin pada hari penamaan calon esok, terutama mereka yang memiliki pas terbuka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata SPR mengeluarkan 200 keping pas terbuka dengan Barisan Nasional (BN) dan PAS masing-masing mendapat 100 keping pas, bagi membolehkan penyokong calon masing-masing memasuki kawasan pusat penamaan calon di Dewan Dato' Madi, di sini.

Pemegang pas terbuka itu perlu memakai pas setiap masa di kawasan penamaan calon supaya tidak menimbulkan konflik antara polis dan anggota parti yang bertanding, katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Ahmad turut menjangkakan kehadiran sekitar 3,000 hingga 4,000 penyokong kedua-dua parti itu esok, bergantung kepada keadaan cuaca. Polis juga, katanya, telahpun bersiap sedia sejak tiga hari lepas untuk memastikan proses penamaan calon berjalan lancar. "Sepuluh unit Pasukan Gempur Ringan (LSF) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bersiap di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan yang hanya terletak kurang 50 meter dari pusat penamaan calon," kata Ahmad.

Beliau berkata penyokong BN dan PAS juga akan dibenarkan bergerak secara berperingkat mulai pukul 8 pagi esok untuk mengelakkan mereka bertembung dalam perjalanan ke pusat penamaan calon.

Beliau turut meminta penyokong kedua-dua parti supaya tidak membawa senjata berbahaya, pembesar suara, alat-alat muzik, kain rentang dengan tulisan berunsur provokasi dan menghasut.

BN menurunkan Pensyarah Kanan Universiti Perguruan Sultan Idris Prof Dr Suhaimi Lazim, 52, sebagai calonnya pada PRK itu manakala PAS mengemukakan Ketua Pemuda PAS Jerai yang juga pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam Kedah, Mohd Azam Samat.

Pada pilihan raya umum Mei lepas, penyandang kerusi DUN Sungai Limau sejak 1995, Tan Sri Azizan Abdul Razak menewaskan calon BN Mohd Fazillah Mohd Ali dan dua calon bebas dengan majoriti undi sebanyak 2,774.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Azizan pada 26 September lepas kerana komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan