PAS Kelantan Masih Rujuk Nik Aziz Dalam Pentadbiran Negeri

Diterbitkan: Isnin, 21 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Kerajaan PAS Kelantan mengaku masih merujuk kepada bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengurus tadbir negeri itu.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata ini kerana Nik Abdul Aziz masih memegang jawatan Pesuruhjaya PAS Kelantan.

"Dalam parti Tok Guru (Nik Abdul Aziz) masih lagi Pesuruhjaya (PAS) Negeri Kelantan. Di situlah forum kita pada setiap minggu, (selain) mesyuarat Dewan Harian dengan semua kepimpinan yang masih dikekalkan sehingga Muktamar PAS akhir tahun ini.

"Mungkin ada perubahanlah. Sehingga kini kepimpinan parti (di Kelantan) masih kekal," katanya selepas merasmikan Sambutan 23 Tahun Kelantan Membangun Bersama Islam di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke IV, di sini Isnin.

Nik Abdul Aziz melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Mei lalu setelah lebih 20 tahun memgang jawatan itu sejak PAS memerintah Kelantan pada 1990.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri DUN) Sungai Limau, Kedah, Ahmad berkata PAS Kelantan akan menghantar empat kumpulan jentera bagi membantu beberapa kawasan peti undi di sana.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon untuk PRK DUN Sungai Limau pada Rabu ini, manakala pengundian pula pada 4 November.

DUN itu yang merupakan kubu kuat PAS, diisytihar kosong susulan kematian penyandang Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 26 September lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan