Najib Beri Jaminan Kebanyakan Permintaan Sabah Akan Ditunaikan Dalam Belanjawan 2014

Diterbitkan: Isnin, 21 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa kebanyakan permintaan Sabah akan ditunaikan dalam pembentangan Belanjawan 2014 Jumaat ini.

Beliau berkata kerajaan pusat akan terus memberi pertimbangan dalam menambah peruntukan yang diperlukan oleh Sabah, khususnya dalam pembangunan kemudahan dan infrastruktur.

"Semuanya ada dalam Bajet yang saya akan bentangkan Jumaat ini. Jadi saya tak umumkan apa-apa dahulu," katanya secara berseloroh ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-28, di sini Isnin.

Najib berkata kerajaan juga sentiasa memberi perhatian kepada pemerkasaan ekonomi Bumiputera, termasuk golongan minoriti Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Katanya kerajaan juga melihat kepada pembangunan inklusif melibatkan semua masyarakat, termasuk kaum bukan Bumiputera, ke arah perkongsian harta secara adil dan saksama.

"Pembangunan inklusif akan menjamin kestabilan negara dalam jangka masa panjang.

"Sabah juga tidak perlu khuatir kerana kerajaan akan pastikan tidak ada pihak di negara ini yang akan ketinggalan atau terasa diri mereka ketinggalan dalam pembangunan," katanya.

Najib juga meminta penduduk di Sabah supaya terus mengukuhkan perpaduan bagi membolehkan pembangunan dilaksanakan dengan sempurna.

Menurutnya Sabah sering menjadi contoh negeri terbaik dalam mengamalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

"Ini (perpaduan) adalah aset. Kita boleh jadikannya sebagai model kejayaan negara, kejayaan kerajaan Barisan Nasional memimpin negara yang boleh menjana kekayaan negara kita," katanya.

Beliau juga meminta rakyat tidak terpengaruh dengan janji palsu pembangkang yang menjanjikan pelbagai kemudahan secara percuma, termasuk pelepasan pembayaran hutang seperti pinjaman pendidikan.

"Kalau kita tak bayar hutang, jadi siapalah nak bayar? Nanti generasi masa depan pula kena bayar.

"Jangan bebankan anak cucu kita. Menyusahkan. BN tak bebankan rakyat," katanya.

Najib berkata kerajaan akan terus mencari sumber pendapatan tambahan negara dalam menceburi bidang-bidang baharu seperti industri berasaskan pengetahuan dan mencari inovasi baharu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan