Kerajaan Komited Tunai Janji Laksana Esscom, Esszone

Diterbitkan: Isnin, 21 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Kerajaan persekutuan komited menunaikan janjinya kepada rakyat Sabah untuk melaksanakan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang merupakan ejen penguatkuasaan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (Esszone).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan persekutuan bagaimanapun tidak akan membuat "apa-apa" tanpa persetujuan rakyat Sabah.

"Maka itu, bos negeri adalah Ketua Menteri (Datuk Seri Musa Aman), yang akan berunding dengan saya dan kita akan buat keputusan bersama apa yang perlu kita lakukan supaya setiap inci tanah Sabah tetap kita pertahankan.

Najib berkata pengikut Kiram tidak lagi meneruskan agenda mereka (menuntut hak ke atas Sabah).

"Kita harap, pengikut-pengikut (Jamalul) Kiram, cukuplah...jangan kejar sesuatu yang akan bawa kebinasaan kepada mereka, kerana rakyat Sabah tidak rela mereka kuasai Sabah sama sekali," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-28, di sini, Isnin.

Turut hadir ialah Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri) dan Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Pairin berkata rakyat Sabah menyambut baik penubuhan Esscom dan Esszone ekoran insiden pencerobohan oleh kumpulan bersenjata Sulu.

Beliau berkata peristiwa itu membuka mata rakyat negeri ini yang telah lama menyuarakan kebimbangan terhadap kesan kehadiran pendatang tanpa izin yang menggugat keadaan ekonomi, sosial dan keselamatan orang Sabah.

"Maka, rakyat negeri Sabah menghargai tindakan kerajaan pusat untuk membanteras tindakan kumpulan bersenjata ini yang menggelar diri sebagai tentera Sultan Sulu," katanya.

Beliau berkata ini menunjukkan kerajaan pusat benar-benar komited untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Pairin turut membangkitkan butiran penubuhan Esscom dan Esszone yang menurutnya kurang jelas daripada pengetahuan lapisan masyarakat Sabah.

"Sebagai contoh, rakyat ingin mendapat maklumat terperinci mengenai lokasi-lokasi Esszone, bila ia akan beroperasi dan bila penambahan anggota keselamatan akan dilaksanakan untuk memenuhi keperluan tenaga di pusat-pusat tersebut," katanya.

Beliau berkata PBS berpendapat perkara itu perlu diperjelas lagi dan diambil tindakan untuk memastikan kerajaan mengambil langkah berkesan yang nyata kepada rakyat demi keyakinan orang awam bahawa keselamatan di Sabah adalah terjamin.

Pairin berkata rakyat Sabah juga ingin mengetahui bentuk penglibatan warga Sabah dari segi tenaga anggota yang bakal dikerah ke Esszone.

"Kami berharap pertimbangan akan diberi kepada cadangan agar anggota keselamatan, iaitu tentera dan polis, diambil dari kalangan anggota warga Sabah, termasuk dalam pelantikan jawatan dan kenaikan pangkat anggota polis dan tentera yang berkenaan," katanya.

Pairin berkata Esscom bukan sahaja penting untuk menjaga kepentingan keselamatan di negeri Sabah tetapi juga ia memberi impak ekonomi, dan berharap kerajaan persekutuan dapat memberi butiran jelas mengenai impak ekonomi yang dapat dihasilkan sebagai kesan sampingan penubuhan Esscom.

Penubuhan Esscom diumumkan Najib pada 7 Mac lepas dalam lawatan pertamanya ke Lahad Datu bagi meninjau Ops Daulat susulan pencerobohan pengganas Sulu di daerah ini pada Februari lepas dan Esscom mula beroperasi pada 1 April.

Esscom yang kini menjangkau usia tujuh bulan, diterajui Ketua Pengarah Datuk Mohammad Mentek, dan merupakan ejen penguatkuasaan atau pelaksana bagi Zon Selamat Sabah Timur (Esszone), yang merangkumi 10 daerah sepanjang 1,400 kilometer di pantai timur Sabah.

Esszone yang meliputi Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau, antara lain bertujuan memantap dan menyelaras semua operasi yang dilaksanakan pelbagai entiti pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Kolumnis

iklan

Iklan