Lapan Muka Baharu, Termasuk Tiga Calon Pemuda Anggotai MT

Diterbitkan: Ahad, 20 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keputusan pemilihan Umno 2013 menyaksikan lapan muka baharu dipilih menganggotai barisan kepimpinan Majlis Tertinggi (MT) dengan tiga daripada calon mendapat sokongan Pergerakan Pemuda.

Muka baharu yang dipilih 146,500 perwakilan pada pemilihan yang berlangsung serentak di 191 bahagian semalam, menyaksikan mereka yang belum pernah menganggotai MT iaitu Datuk Abdul Rahman Dahalan, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Ab Aziz Kaprawi, Datuk Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Sohaimi Shahadan.

Dua bekas Ketua Puteri Umno pusat Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Datuk Seri Azalina Othman Said yang pernah menganggotai MT atas kapasiti ketua sayap itu turut dipilih.

Tan Sri Annuar Musa pula membuat kemunculan semula apabila dipilih perwakilan untuk berada dalam senarai 25 anggota MT selepas menyandang jawatan itu pada penggal 2000-2003.

Selain Sohaimi dan Reezal Merican, seorang lagi calon yang mendapat sokongan Pemuda ialah Datuk Razali Ibrahim yang sebelum ini merupakan Naib Ketua Pemuda dan dilantik menggangotai MT. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan