Dua Aspek Penting Perlu Diberi Penekanan Pucuk Pimpinan Umno Yang Baharu

Diterbitkan: Ahad, 20 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Pucuk kepimpinan Umno yang baharu dipilih perlu menekankan dua aspek penting iaitu pengkaderan dan penyelidikan bagi memperkukuh parti itu pada masa depan.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata soal pengkaderan iaitu proses pembentukan karakter seseorang agar sehaluan dengan ideologi serta aturan parti membolehkan Umno melahirkan pemimpin yang benar-benar berjuang demi agama, bangsa dan negara.

"Latihan kepimpinan itu wajib dibuat, kita mesti menyuntik roh Umno itu sendiri pada setiap ahli bukan roh untuk mendapatkan habuan...ini harus ditekankan dalam modul baru perkaderan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri pengkebumian bapa mentua Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Md Zin Md Yunus yang meninggal dunia akibat sakit tua di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penekanan yang bakal dilaksanakan beliau serta barisan kepimpinan yang baru dipilih pada pemilihan Umno, Sabtu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata aspek penyelidikan pula penting bagi parti membuat setiap keputusan dengan tepat selain mengelak Umno dibuai dengan sokongan tidak nyata sekaligus memberi kesan buruk kepada parti.

"Kita harus berpijak di bumi nyata kerana dalam pilihan raya akan datang, ada kira-kira 6.5 juta pengundi pertama kali dan mereka ini mempunyai pendidikan tinggi, berfikiran terbuka dan mempunyai lapang dada yang berbeza dengan generasi hari ini.

"Oleh sebab itu pemimpin yang ada sekarang ini mesti menyesuaikan diri dengan mereka (pengundi), bukan mereka menyesuaikan diri dengan kepimpinan," katanya.

Ditanya sama ada kepimpinan baharu termasuk anggota Majlis Tertinggi yang dipilih mencerminkan usaha transformasi politik Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, Ahmad Zahid berkata ia merupakan kombinasi pemimpin terdahulu dan muka baharu.

Pemilihan kali ini menyaksikan Ahmad Zahid Hamidi memperoleh 185 undi manakala Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammudddin Tun Hussein masing-masing memperoleh 174 dan 100 undi mengekalkan jawatan Naib Presiden Umno.

Trio itu menewaskan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang memperoleh 91 undi serta bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang masing-masing mendapat tujuh undi dalam pemilihan melibatkan sebanyak 146,500 perwakilan dari sejumlah 191 bahagian Umno mengikut sistem 'electoral college'.

Setiap seorang daripada tiga calon yang memperoleh bilangan undi paling banyak daripada perwakilan bahagian dikira meraih satu undi dari bahagian berkenaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan