Pemuda PBB Lulus Usul Sokong Penuh PPPM

Diterbitkan: Sabtu, 19 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Sabtu menyatakan sokongan penuh terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), selain mahu kerajaan meneliti isu perpindahan guru dari kawasan luar bandar Sarawak.

Perkara itu antara yang terkandung dalam tiga usul yang diluluskan sebulat suara oleh sayap tersebut dalam perhimpunan agungnya di sini.

Ketua Pemuda PBB Datuk Fadillah Yusof berkata sayap itu melihat dua perkara tersebut yang terkandung dalam usul pendidikan, sebagai amat penting kepada proses pembangunan negara amnya dan Sarawak khususnya.

Berhubung isu guru dari luar Sarawak, khususnya dari Semenanjung yang dihantar berkhidmat di pedalaman namun kemudian memohon kembali ke negeri asal, Fadillah berkata Pemuda PBB mahu kerajaan menangani segera masalah itu.

"Ini bagi memastikan jurang antara sekolah di bandar dan luar bandar dapat diatasi. Mungkin penambahan guru-guru tempatan boleh mengatasi masalah ini," katanya dalam sidang media selepas perhimpunan itu. Mengenai usul ekonomi pula, beliau berkata sayap itu meminta agar kerajaan mempermudah proses permohonan permit dan lesen perniagaan selain memperluas latihan serta meningkatkan kemudahan.

"Pemuda PBB juga meminta agar usaha membantu usahawan bumiputera khususnya di luar bandar dipertingkat," katanya.

Fadillah berkata sayap itu juga berharap kerajaan memperhebat program kerjaya di luar bandar bagi membolehkan masyarakat di kawasan tersebut bersaing seiring pembangunan negara.

"Kemudahan Internet dilihat perlu dipertingkat supaya proses pembelajaran khususnya di luar bandar tidak terganggu, manakala pembinaan jalan Pan Borneo antara manifesto Barisan Nasional dalam pilihan raya lepas turut diharap dapat disegerakan," katanya menyentuh usul politik (pembangunan infrastruktur). -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan