Zahid Dahului Saingan Jawatan Naib Presiden Umno

Diterbitkan: Jumaat, 18 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Hishammuddin (dua kiri) beramah mesra dengan ahli Umno ketika tiba untuk menghadiri mesyuarat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Hishammuddin (dua kiri) beramah mesra dengan ahli Umno ketika tiba untuk menghadiri mesyuarat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengakui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendahului senarai saingan merebut tiga jawatan Naib Presiden Umno pada Sabtu.

Hishammuddin yang turut bertanding untuk mempertahankan jawatannya berkata, lima lagi calon lain mempunyai peluang seimbang untuk mengisi baki dua kerusi untuk jawatan itu.

"Tiada siapa boleh meramal bagaimana 146,500 perwakilan akan membuat keputusan kerana ia sistem pemilihan yang baharu," katanya merujuk kepada sistem pengundian Umno yang menyaksikan peningkatan ketara dalam jumlah pengundi pada pemilihan kali ini.

Pada pemilihan Umno sebelum ini, hanya kira-kira 2,500 perwakilan layak untuk mengundi kepimpinan tertinggi parti itu.

Selain Zahid dan Hishammuddin, calon lain yang turut menawarkan diri bertanding bagi jawatan itu adalah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau telah bekerja keras untuk membersihkan persepsi negatif mengenai dirinya terutamanya di laman media sosial mengenai peranan beliau sebagai Menteri Dalam Negeri.

"Saya menjelaskan kepada seramai ahli Umno yang boleh ketika bertemu mereka. Ia amat memenatkan tetapi hati saya jelas," katanya kepada The Star.

Mengenai dakwaan beliau tidak tegas ketika insiden pencerobohan di Lahad Datu, Hishammuddin berkata, ramai tidak menyedari penceroboh sebenarnya mensasarkan Semporna, satu daerah di pesisir pantai Sabah di mana enam anggota polis terbunuh.

Beliau berkata pihak berkuasa bertindak dengan lebih berhati-hati kerana 27 lagi anggota polis terperangkap di dalam perkampungan itu dan persediaan yang rumit telah dibuat sebelum pihak berkuasa boleh memasuki kawasan itu.

Hishammuddin turut menyangkal dakwaan bahawa beliau lemah dalam menangani Bersih, pekerja asing tanpa izin dan kegiatan jenayah.

Hishammuddin berkata beliau berasa lebih selesa untuk memulakan kempennya selepas Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing menang tanpa bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Ketika ditanya mengenai peluang untuk menang, beliau berkata segalanya terletak di tangan semua perwakilan.

Hishammuddin berkata perwakilan perlu menyedari kesetiaannya terhadap parti dan bagaimana beliau menerajui sayap Pergerakan Pemuda susulan keadaan huru-hara pada 1998 di mana separuh daripada kepimpinan pergerakan itu meninggalkan parti ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari parti dan kerajaan.

Beliau menerajui Pemuda Umno sejak itu dan memegang jawatan tersebut selama tiga penggal sebelum memenangi jawatan Naib Presiden pada 2009.

Ketika ditanya sama ada beliau mempunyai kelebihan kerana dirinya adalah sepupu kepada Najib, Hishammuddin berkata beliau tidak akan bertahan lama dalam politik jika terpaksa bergantung kepada hubungan kekeluargaan.

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan