Wanita Umno Kalabakan Tuntut Pemilihan Penuh, Gesa Campur Tangan Pusat

Diterbitkan: Jumaat, 18 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kontroversi perletakan jawatan 14 Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita Umno Bahagian Kalabakan berlarutan apabila kumpulan berkenaan menolak keputusan Umno Bahagian itu untuk mengadakan pemilihan semula hanya bagi mengisi kekosongan dalam sayap itu.

Sehubungan itu Suriyani Lamai yang mengetuai 14 kumpulan tersebut berkata, pihaknya menuntut campur tangan Umno Pusat sebelum pemilihan semula diadakan berikutan wujud dakwaan salah laku dalam pemilihan pada Sabtu lepas.

"Mengenai pemilihan semula seperti yang termaktub di dalam Fasal 15.8 dan 12.11 Perlembagaan Umno, perkara ini haruslah diputuskan oleh Umno Pusat terlebih dahulu.

"Memandangkan isu ini melibatkan salah laku dalam Pemilihan Umno kami meminta Jawatankuasa Disiplin parti mengambil tindakan keras kepada mereka yang bersalah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Ketua Umno Bahagian Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh bahawa Umno Bahagian itu menetapkan menetapkan 30 November ini bagi mengadakan mesyuarat agung khas untuk pemilihan semula 14 AJK Wanita bahagian itu yang meletak jawatan.

Abdul Ghapur dilaporkan berkata, mengikut Fasal 12.11, Peraturan Pergerakan Wanita Umno, Umno Bahagian Kalabakan boleh mengambil alih semua pentadbiran Wanita Kalabakan dan berkuasa menetapkan satu tarikh mengadakan mesyuarat agung khas semula untuk memilih 14 kekosongan.

Bagaimana Suriyani mendakwa kenyataan Abdul Ghapur bertentangan dengan Perlembangaan Umno kerana pemilihan semula perlu melibatkan keseluruhan pentadbiran sayap pergerakan itu.

"Kenyataan Datuk Seri Ghapur mengenai Fasal 12.11 Perlembagaan Umno juga mengelirukan kerana pemilihan semula jawatankuasa yang baru bukan hanya untuk mengantikan 14 AJK yang meletak jawatan tetapi juga keseluruhan Ahli Jawatankuasa termasuk Ketua Wanita dan Naibnya seperti yang disebut di dalam Fasal 12.3 dan Fasal 12.4 Perlembagaan Umno," katanya.

Selain itu Suriyani turut menolak kenyataan Abdul Gapur yang mengaitkan kononnya perletakkan jawatan 14 AJK tersebut disebabkan kekalahan bekas Ketua Wanita Umno Kalabakan, Datuk Hamisa Samat.

Dalam pemilihan itu, Hamisa yang merupakan penyandang Ketua Wanita kalah kepada Cahaya Sulaiman dengan majoriti 33 undi.

"Saya bagi pihak 14 rakan wanita yang meletak jawatan menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Seri Abdul Ghapur. Kami mengambil keputusan sebulat suara bahawa soal kalah menang adalah perkara biasa di dalam pemilihan Umno.

"Namun setiap ahli termasuk pimpinan parti bahagian harus menghormati tata etika yang telah digariskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Umno dan tidak mencampuri urusan pemilihan seperti apa yang berlaku pada 12 Oktober yang lalu.

"Kita ada bukti rakaman video dan gambar yang membuktikan campur tangan pimpinan bahagian dalam pemilihan tersebut," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan