Polis Pertingkat Rondaan Di DUN Sungai Limau Bermula Esok

Diterbitkan: Khamis, 17 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Polis Kedah akan mempertingkat rondaan di sekitar daerah Yan terutama kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, bermula esok.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata langkah itu yang merupakan sebahagian persediaan menjelang pilihan raya kecil DUN Sungai Limau turut membabitkan daerah bersempadan iaitu Kota Setar dan Kuala Muda.

Rondaan ini membabitkan unit bermotosikal dan kenderaan peronda polis (MPV), selain penubuhan balai polis bergerak, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

"Kita juga akan tambah kiosk bertujuan untuk kawal pergerakan sepanjang pilihan raya kecil ini," katanya.

Beliau juga meminta pemimpin dan penyokong parti agar mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa serta memberi kerjasama kepada polis yang bertugas pada hari penamaan calon dan juga pengundian.

Pilihan raya umum baharu sahaja berakhir dan mereka sudah pasti masih ingat apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, katanya. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 23 Oktober ini untuk hari penamaan calon dan hari pengundian pula pada 4 November.

DUN Sungai Limau kosong selepas penyandangnya Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah meninggal dunia pada 26 September lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan