Kesinambungan Pemimpin Lama, Baharu Pastikan Umno Terus Relevan - Ahmad Zahid

Diterbitkan: Khamis, 17 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kombinasi tokoh lama dan muka baharu akan akan memastikan Umno terus relevan di samping membolehkan usaha peremajaan parti dijalankan secara berterusan, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang akan mempertahan jawatan itu pada pemilihan Majlis Tertinggi dan Bahagian pada Sabtu ini berkata kesinambungan pemimpin dari generasi berbeza mampu memperkukuhkan institusi kepimpinan dalam Umno.

"Soal relevansi bukan hanya dilihat dalam kalangan naib presiden tetapi dalam kalangan tokoh-tokoh lain yang akan bersama-sama dalam Majlis Tertinggi. Bagi saya, perlu ada kesinambungan yang lama dan baharu.

"Bila ada kombinasi kedua-dua kumpulan ini, Umno akan terus relevan dan saya yakin Umno dapat terus diremajakan apatah lagi dengan adanya wakil Wanita, Pemuda dan Puteri yang secara automatik menjadi naib presiden selaku ketua sayap," katanya ketika ditemu bual dalam program Ruang Bicara terbitan BernamaTV malam Rabu.

Ahmad Zahid berkata perwakilan tentunya mahu menentukan kumpulan terbaik dalam kepimpinan teratas parti dan ia termasuk mewujudkan rentetan pemimpin dari generasi yang berbeza.

Mesyuarat peringkat bahagian dan pemilihan anggota Majlis Tertinggi Umno Sabtu ini menjadi titik penentu bagi melengkapkan barisan kepimpinan parti di belakang Presiden dan Timbalan Presiden yang menang tanpa bertanding, selain ketua-ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah memperoleh mandat masing-masing, Ahad lepas.

Jawatan Naib Presiden parti turut ditandingi oleh dua lagi penyandang Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir, bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Tidak menolak aspek keserasian merupakan faktor penting dalam kalangan 'orang nombor tiga' parti, Ahmad Zahid bagaimanapun berkata ia boleh dibentuk pada bila-bila masa.

"Yang penting, sesiapa pun terpilih di peringkat ketiga perlu mendokong agenda dan cita-cita presiden serta timbalan presiden parti. Tidak semestinya apa yang ada di luar tidak boleh disesuaikan dengan kepimpinan," katanya.

Mengenai aspek peremajaan parti, Ahmad Zahid berkata Umno harus berubah seiring dengan kehendak dan situasi masyarakat khususnya dalam mendekati pengundi muda yang akan mengundi buat kali pertama pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam temu bual selama sejam itu, beliau meminta kepimpinan di semua peringkat tidak lagi bergantung kepada bentuk komunikasi bersemuka semata-mata apabila ingin mendekati akar umbi, sebaliknya harus berani menggunakan medium baru seperti media sosial yang mempunyai liputan khalayak lebih luas.

"Banyak perubahan sudah dilakukan sepanjang kepimpinan (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad dan kita tak nampak wujudnya jurang generasi baru dan lama. Semasa Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) pun kita dapat lihat bentuk komunikasi untuk dekati khalayak berbeza.

"Faktor umur mungkin digunakan sebagai kayu pengukur, tetapi gaya dan pendekatan baharu harus digunakan agar Umno terus relevan. Oleh kerana Umno merupakan tulang belakang kerajaan Barisan Nasional, ia harus disesuaikan dengan kehendak pasaran," jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata transformasi yang hendak dilakukan dalam parti tidak boleh hanya tertumpu kepada aspek fikizal malah kepuasan rohani juga perlu diambil kira supaya para anggota terus setia kepada parti.

Beberapa pihak melihat ketegasan memerangi jenayah di bawah portfolio Menteri Dalam Negeri menjadikan Ahmad Zahid antara calon paling kuat untuk memenangi jawatan Naib Presiden.

Namun, beliau tidak melihat jawatan Kabinet itu sebagai satu kelebihan, sebaliknya menegaskan beliau hanya melakukan apa yang perlu seiring dengan keadaan semasa.

"Apabila kepercayaan diberi untuk saya laksanakan agenda penurunan kadar jenayah, saya beri komitmen dan iltizam untuk lihat rakyat dijaga sepenuhnya. Ini bukan peluang tetapi cabaran yang cukup berat yang perlu saya tanggung.

"Jika analisis populariti dapat diterjemah dalam bentuk undi pada pemilihan Sabtu ini, tentunya saya berasa sukacita atas sokongan yang diberi (oleh perwakilan)," katanya. Ditanya mengapa perwakilan harus memilih beliau sebagai Naib Presiden, Ahmad Zahid berkata: "Saya tawar diri kerana tidak mahu jadi pemimpin bermusim. Bila pemilihan baru terhegeh-hegeh jumpa perwakilan.

"Bila jalankan tugas harus ada fikiran yang kedudukan kita diletakkan oleh perwakilan. Tak salah kalau kita turun jumpa mereka yang beri kepercayaan kepada kita baru mereka rasa dihargai. Saya bukan tanam budi, tapi setia kawan di peringkat akar umbi."

Dua hari menjelang pemilihan, Ahmad Zahid meminta anggota perwakilan supaya membuat keputusan berdasarkan suara hati mereka.

Menurutnya anggota perwakilan harus dihormati kerana merekalah yang mempunyai kuasa menentukan siapa tokoh paling layak untuk membawa parti keramat Melayu itu ke peringkat tertinggi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan