Pencari Kerja Hadapi Kesukaran Tembusi Pasaran Kerja

Diterbitkan: Isnin, 14 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pencari kerja terutamanya lulusan siswazah baru kini menghadapi kesukaran untuk menembusi pasaran kerja.

Tempoh had umur persaraan yang dilanjutkan, kos operasi yang lebih tinggi ditambah pula dengan hasil yang lebih rendah dan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu adalah antara punca di sebalik penurunan penawaran kerja, demikian menurut Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan.

Beliau berkata, jumlah kekosongan kerja yang berdaftar oleh majikan pada Jun 2013 menurun sebanyak 35.7 peratus kepada 107,796 berbanding dengan 167,968 kekosongan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Shamsuddin berkata, pencari kerja perlu bersaing untuk menempatkan diri dalam sektor pekerjaan berikutan kira-kira 915,000 pekerja sektor swasta akan dikekalkan dalam tenaga kerja untuk tempoh lima tahun akan datang ekoran lanjutan umur persaraan 55 hingga 60 tahun berdasarkan Akta Persaraan Minimum 2012 yang berkuat kuasa pada 1 Julai.

"Ramai juga majikan lebih suka mengambil sikap 'tunggu dan lihat' kerana keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu. Mereka juga sedang bersedia untuk menghadapi sepenuhnya kesan dasar gaji minimum pada Januari," katanya.

Shamsuddin berkata, syarikat-syarikat yang menghadapi kos operasi yang tinggi dan memperoleh pendapatan yang lebih rendah, berhenti mengambil pekerja baru sebagai salah satu daripada langkah pengurangan kos mereka.

"Ada majikan yang menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) dan pakej lain kepada pekerja yang ingin meletakkan jawatan. Maka kemungkinan untuk mengambil graduan baru adalah sangat tipis," katanya sambil menambah bahawa kadar pengangguran semasa adalah hanya kira-kira 3 peratus.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan