Kekal Shahrizat, Khairy Isyarat Akar Umno Iktiraf Kepimpinan

Diterbitkan: Isnin, 14 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kemenangan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai ketua pergerakan Wanita dan Pemuda Umno adalah satu petanda sokongan padu akar umbi terhadap daya tahan dan sikap aggresif dalam kepimpinan mereka.

Menepati ramalan bahawa kedua-dua mereka sukar digugat, natijah kemenangan itu membuktikan 180,765 perwakilan mengiktiraf ketahanan Shahrizat menangani krisis serta menyokong agenda progresif dan liberal yang dibawa Khairy.

Dengan Ketua Puteri yang baharu, Mas Ermieyati Samsudin, gandingan kepimpinan tiga sayap itu dilihat mampu memacu Umno ke tahap lebih tinggi melalui keupayaan mereka menarik sokongan di kalangan masyarakat.

Menurut pemerhati politik, keputusan ini memberi isyarat bahawa akar umbi mahu mengekalkan kestabilan pentadbiran, perancangan dan transformasi, khususnya dalam menarik sokongan golongan sasar yang direncana pergerakan itu.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, corak dan gaya kepimpinan yang dibawa Khairy nyata diterima dan ditagih bagi membawa Pemuda ke arah lebih progresif, sekaligus memberi impak kepada Umno secara keseluruhan.

Katanya, Shahrizat masih diperlukan sayap itu untuk terus menjuarai isu-isu wanita, melalui sikap mesra dan penyayang yang dimiliki, sesuai dengan sikap 'keibuan' padanya.

"Saya juga melihat Shahrizat dikekalkan kerana peranannya di dalam parti yang hanya diketahui oleh ahli parti tentang kebolehannya termasuk menyatupadukan anggota pergerakan itu.

"Walaupun terpalit dengan pelbagai isu seperti NFC (National Feedlot Corporation), ini hanyalah persepsi pembangkang yang mahu rakyat melihat beliau sebagai seseorang yang mempunyai banyak unsur negatif," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.

Pemilihan kali ini menyaksikan Shahrizat mengetepikan cabaran Datuk Maznah Mazlan dan Raihan Suleiman Palestin manakala Khairy mengungguli saingan lima penjuru.

Khairy dicabar Syed Rosli Syed Harman, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Irwan Ambak Khalid Izhar, dan Abd Karim Ali, manakala Mas Ermieyati pula menewaskan Jamilah Hanim Othman.

Samsul Adabi berkata, bagi menjadikan dirinya sebagai pemimpin berwibawa, Shahrizat perlu melalui cabaran besar membersihkan persepsi negatif terhadapnya yang boleh menjadi pemangkin dalam menerajui pergerakan itu, khususnya bagi berhadapan dengan serangan pihak tertentu menuju pilihan raya umum akan datang.

Berkenaan Mas Ermieyati beliau berkata, walaupun masih baharu, Anggota Parlimen Masjid Tanah, Melaka berusia 37 tahun itu, yang juga seorang peguam mempunyai kebolehan menyediakan pemimpin pelapis di kalangan wanita untuk kesinambungan pergerakan itu di masa depan.

"Pada saya barisan kepimpinan sayap yang baharu ini merupakan pengiktirafan kepada Shahrizat dan Khairy kerana diberi mandat sekali lagi, cumanya di bawah kepimpinan baharu Puteri perlu disegarkan supaya boleh memberi nilai tambah kepada Wanita," katanya.

Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu Che Hamdan Che Mohd Razali pula berpandangan undian padu yang diterima Shahrizat dan Khairy juga membuktikan bahawa kedua-dua pemimpin ini memenuhi aspirasi akar umbi.

Katanya, tahap kepimpinan kedua-dua ketua sayap itu juga jauh berbeza dengan pencabar masing-masing yang nyata tidak dapat memberi saingan sengit malah gagal mendapat sokongan anggota akar umbi.

"Kita tidak boleh melihat pemilihan ini kepada bagaimana sayap ini melakukan persiapan pilihan raya umum akan datang kerana jika pilihan raya diadakan lima tahun akan datang, Umno akan melalui satu lagi pemilihan parti.

"Apa yang penting, sayap-sayap ini perlu fokus melaksanakan transformasi parti seperti mana yang dikehendaki presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Mengenai kemungkinan keputusan pemilihan sayap itu mampu mempengaruhi keputusan pemilihan Majlis Tertinggi pada Sabtu depan yang dijangka hangat dan menarik perhatian seluruh masyarakat, Che Hamdan berkata sebarang kemungkinan boleh terjadi.

"Keputusan pemilihan sayap berkemungkinan akan mengekalkan status quo Majlis Tertinggi, tetapi saya tidak menolak kemungkinan besar bahawa pemilihan sayap (sebaliknya) juga akan mempengaruhi keputusan pemilihan Majlis Tertinggi," katanya.

Sudah tentunya, pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Kedah 4 November ini akan menjadi medan pertempuran pertama buat gandingan kepimpinan tiga sayap itu untuk menguji kesepakatan, kebolehan dan kematangan mereka dalam meraih sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN). - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan