50 Bahagian Umno Belum Selesai Kira Undi - Rauf

Diterbitkan: Ahad, 13 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kira-kira 50 Bahagian Umno belum menyelesaikan proses pengiraan undi masing-masing sehingga pukul 3.30 pagi Ahad berikutan masalah teknikal.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh berkata, antara sebab wujudnya kelewatan proses berkenaan berpunca daripada bantahan wakil calon sewaktu pengiraan undi dilakukan.

"Lebih kurang 50 bahagian itu masih lagi melakukan proses pengiraan undi. Kelewatan ini antara lain disebabkan wujudnya protes daripada wakil calon yang tidak puas hati dengan keputusan.

"Mereka minta diadakan pengiraan semula...jadi sehingga pukul 3.30 pagi ini kita masih menunggu keputusan daripada bahagian-bahagian berkenaa," katanya kepada pemberita di sini, awal pagi Ahad.

Selain itu menurut Ab Rauf keputusan rasmi selanjutnya akan diumum melalui siaran media pada Ahad.

Dalam pada itu menerusi sidang media terakhir oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno, Tan Sri Tajol Rosli Mohamed Ghazali pada kira-kira pukul 4 pagi Ahad, beliau mengisytiharkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar masing-masing mengekalkan jawatan Ketua Pergerakan Wanita dan Pemuda Umno.

Beliau turut mengisytiharkan Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Puteri Umno yang baharu.

Ketika pengumuman itu dibuat, Shahrizat memperoleh 100 undi, Khairy 97 undi dan Mas Ermieyati 96 undi, daripada 191 bahagian sayap masing-masing.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan