18 Muka Baharu Teraju Sayap Umno Bahagian Di Negeri Sembilan

Diterbitkan: Ahad, 13 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Mesyuarat perwakilan dan pemilihan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno semalam menyaksikan 18 muka baharu dipilih menerajui ketiga-tiga sayap parti itu di lapan Umno Bahagian di negeri ini.

Daripada jumlah itu, masing-masing tujuh Ketua Pemuda dan Ketua Puteri manakala empat lagi Ketua Wanita.

Antara tujuh muka baharu yang diumum menang tanpa bertanding ialah Ketua Pemuda Umno Bahagian Telok Kemang, Mohd Najib Mohd Isa yang merupakan anak kepada Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Turut menang tanpa bertanding ialah Ketua Wanita Umno Bahagian Rembau, Siti Harpah Mat Dom, Ketua Puteri Umno Bahagian Jelebu, Rosilawati Malek, Ketua Puteri Umno Bahagian Jempol, Norfasliza Mohd Salleh, Ketua Puteri Umno Bahagian Kuala Pilah, June Artisha Mohamad Nazari, Ketua Puteri Umno Bahagian Tampin, Asmida Sepian dan Ketua Puteri Umno Bahagian Rembau, Zuliana Mohd Ridzuan.

Sementara itu, hanya enam penyandang yang cuba mempertahankan jawatan masing-masing dalam pemilihan kali ini iaitu empat Ketua Wanita dan masing-masing satu bagi Ketua Pemuda dan Ketua Puteri.

Lima daripada mereka berjaya mempertahankan jawatan masing-masing dan hanya Datuk Zainab Nasir yang kalah kepada Zuredah Muhamad bagi jawatan Ketua Wanita Umno Bahagian Tampin.

Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Pilah yang juga Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Norhayati Omar berjaya mempertahankan jawatannya selepas diumum menang tanpa bertanding.

Penyandang lain yang menang selepas menewaskan lawan masing-masing termasuk, Ketua Wanita Umno Bahagian Jelebu, Zuraidah Mohd Zin, Ketua Wanita Umno Bahagian Seremban, Datuk Samsiah Samsudin, Ketua Wanita Umno Bahagian Rasah, Hapsah Hamid, Ketua Pemuda Umno Bahagian Jempol, Mohd Nizam Aman dan Ketua Puteri Umno Bahagian Rembau, Zuliana Mohd Ridzuan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan