Serangan Tikus: HUSM Bertindak...

Diterbitkan: Sabtu, 12 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian sedang mempergiatkan tindakan menangkap tikus bagi mengelak ia daripada terus membiak di sekitar kawasan hospital itu.

Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Dr Zulkefli A. Hassan berkata, agenda membasmi tikus itu bukan merupakan perkara baharu kerana ia telah dilaksanakan selama tiga tahun.

"Cuma kita ambil langkah tambahan yang lebih progresif dengan menubuhkan Jawatankuasa Kebersihan Persekitaran yang akan dipengerusikan Pemangku Naib Canselor USM Ahmad Shukri Mustapa Kamal bagi tujuan tersebut," katanya kepada pemberita di hospital itu di sini.

Beliau mengulas laporan akhbar The Star baru-baru ini bahawa tikus didapati berkeliaran di hospital tersebut termasuk di bilik bedah.

Dr Zulkefli berkata, kerjasama daripada semua pihak terutama Majlis Perbandaran Kota Baharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan Jabatan Kesihatan Negeri amat perlu untuk mengatasi masalah berhubung populasi tikus di hospital itu.

"Pihak HUSM sudah mengambil langkah bersepadu melibatkan keseluruhan tenaga kerjanya di samping tiga syarikat luar yang akan bertanggungjawab mengawal populasi tikus dengan membabitkan peruntukan kira-kira RM100,000," katanya.

"Dalam tempoh dua bulan ini, kita akan melaksanakan gotong-royong pada setiap minggu dengan membabitkan kakitangan HUSM yang sudah melahirkan komitmen untuk menjaga kebersihan kawasan hospital yang seluas empat hektar ini," katanya.

Sementara itu Pengarah HUSM, Datuk Dr Zaidun Kamari berkata, pihaknya tidak akan memindahkan pesakit di wad kanak-kanak yang dikatakan paling terjejas dengan isu berkenaan kerana sudah mengambil langkah kawalan.

"Antara punca tikus datang ialah kerana adanya makanan. Jadi kita sudah minta penjaga atau ibu bapa pesakit kanak-kanak agar menguruskan sisa makanan dengan lebih sempurna di samping kita menutup semua lubang yang mungkin menjadi jalan tikus masuk ke dalam wad," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan