Muhyiddin Bangga Umno Peneraju Pembaharuan Demokrasi Parti

Diterbitkan: Sabtu, 12 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUAR: Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bangga dengan Umno kerana menjadi peneraju kepada pembaharuan demokrasi dalam pemilihan parti dan mengecam DAP yang tidak melambangkan sebuah parti demokratik.

Umno berani menyerahkan mandat kepada ratusan ribu akar umbi di peringkat bahagian untuk memilih pemimpin tertinggi parti, katanya.

"Berbeza dengan sebuah parti pembangkang di negara kita, nama sahaja Parti Tindakan Demokratik, tetapi malangnya tidak melambangkan ia sebuah parti demokratik.

"Sudahlah hanya sebilangan kecil ahli yang memilih pemimpin tertinggi parti, proses pengundian pun diprotes oleh ahli sehingga pemilihan terpaksa dibuat sekali lagi. Ini bukanlah contoh sebuah parti yang mendukung demokrasi," katanya dalam ucapan perasmian persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pagoh di sini, Sabtu.

Teks ucapan timbalan perdana menteri itu dibacakan oleh ketiga-tiga ketua sayap Bahagian berkenaan pada sesi mesyuarat masing-masing.

Muhyiddin berkata dengan 33,273 calon merebut pelbagai jawatan dalam parti melibatkan kira-kira 146,000 anggota perwakilan di seluruh negara, Umno dilihat menjadi sebuah parti yang lebih telus, terbuka dan demokratik.

Sistem ini juga menunjukkan kematangan Umno dengan menyerahkan kepada perwakilan untuk memilih pemimpin dan tiada syarat ketat untuk melayakkan seseorang calon bertanding, baik di peringkat cawangan, hingggalah ke peringkat majlis tertinggi, katanya.

Beliau berkata tiada sistem kuota pencalonan dari bahagian untuk melayakkan seseorang calon itu bertanding dan sesiapa yang memenuhi syarat, boleh bertanding apa-apa jawatan berdasarkan merit masing-masing.

"Yang perlu ditunjukkan ialah kebolehan untuk melaksanakan amanah kepimpinan, menang atau kalah ditentukan oleh kebijaksanaan perwakilan membuat penilaian, dalam suasana pemilihan yang bebas, telus dan terbuka," katanya.

Timbalan perdana menteri berkata dalam masa yang sama, walaupun Umno menggalakkan sistem pemilihan terbuka, tidak bermakna parti itu tidak boleh mengamalkan prinsip musyawarah untuk mengukuhkan parti. Muhyiddin memberi contoh sekiranya ada kesepakatan dalam kalangan anggota parti, sesuatu jawatan tidak perlu dipertandingkan seperti jawatan presiden yang dimenangi tanpa bertanding oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan jawatan timbalan presiden yang dimenangi beliau.

"Dengan semangat musyawarah dan perpaduan dalam parti, peralihan kepimpinan berlaku secara tersusun dan teratur. Yang penting ialah kesepakatan sesama kita. Kekalkan perpaduan parti, Insya-Allah Umno akan menjadi parti yang kuat, kukuh dan padu pada masa akan datang," katanya.

Timbalan presiden Umno itu berkata walaupun parti telah melepasi ujian semasa pilihan raya umum ke-13, namun cabaran getir masih menanti iaitu untuk mengekalkan sokongan rakyat terutama dalam kalangan orang Melayu pada pilihan raya akan datang.

Cabaran besar ialah bagaimana untuk menjadikan Umno sebagai parti pilihan utama orang Melayu kerana parti hanya akan kekal menjadi sebuah parti yang kuat sekiranya orang Melayu dari satu generasi ke satu generasi terus menyokong perjuangan Umno, katanya.

"Menginsafi perkara ini, kita (Umno) perlu memberi tumpuan khusus kepada usaha menarik sokongan golongan muda kepada perjuangan kita, harus meyakinkan mereka bahawa perjuangan Umno adalah untuk mereka. "Saya yakin dengan sokongan jitu ini Umno akan bertambah kukuh pada masa akan datang," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata usaha memperkukuh parti juga menjadi cabaran besar untuk Umno kerana jika berlaku perpecahan, maka parti akan kehilangan keyakinan dan sokongan orang Melayu.

Umno perlu terus menjadi parti yang kuat kerana ia parti tonggak orang Melayu membela agama Islam, memartabatkan Bahasa Melayu, mempertahan institusi Diraja dan mengangkat maruah anak bangsa, tegas beliau.

Yang penting, kata Muhyiddin, Umno tidak pernah merasa apologetik untuk membela nasib orang Melayu dan Bumiputera kerana itulah landasan perjuangan parti yang diyakini selaras dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan. -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan