Pemimpin Tidak Wajar Guna Kata-Kata Kesat Terhadap Agensi Kerajaan

Diterbitkan: Jumaat, 11 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Amat tidak wajar bagi mana-mana ahli politik menggunakan kata-kata kesat dan kasar terhadap badan-badan kerajaan kerana ini hanya menunjukkan mereka mahu rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan, kata seorang ahli akademik.

Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata kenyataan seumpama itu juga boleh mengaibkan kakitangan awam dan mencemarkan imej badan-badan kerajaan terbabit. "Jabatan dan agensi kerajaan adalah berkecuali dan dalam kes ROS (Pendaftar Pertubuhan), agensi itu perlu menjalankan tugasnya untuk memantau pertubuhan seperti parti-parti politik dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan)," katanya semasa dihubungi Bernama.

Samsul Adabi, pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Publisiti DAP Tony Pua yang didakwa melabelkan ROS dan akhbar Utusan Malaysia sebagai "anjing Umno" berhubung kontroversi pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP.

Beliau berkata amat menyedihkan apabila sebuah jabatan atau agensi kerajaan yang menjalankan tugas di bawah bidang kuasanya dituduh "diperalatkan" oleh parti politik.

Fungsi utama ROS ialah mentadbir dan menguatkuasakan Akta Pertubuhan 1966, Peraturan-peraturan Pertubuhan 1984 dan dasar-dasar berkaitan pertubuhan, untuk mengawal dan menyelia pertubuhan supaya tidak mengganggu-gugat keamanan, kebajikan, keselamatan, ketenteraman awam, dekorum atau moral Malaysia, serta menguruskan dan menyimpan rekod pendaftaran berkaitan pertubuhan berdaftar dan cawangannya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata kenyataan pemimpin DAP itu jelas menunjukkan rasa tidak hormat dan bertentangan dengan nilai masyarakat Malaysia yang beradab sopan.

"Saya berpendapat kenyataannya (Pua) adalah melampau dan tidak sepatutnya keluar dari mulutnya.

"Beliau mahu menunjukkan bahawa semua perkara yang parti (DAP) gagal lakukan adalah disebabkan oleh Umno. Beliau mahu menyembunyikan kelemahan dan ketidakcekapan parti dengan menyalahkan Umno," katanya.

Razali, yang juga Naib Ketua Pemuda Umno berkata ROS hanya mengambil tindakan terhadap aduan dibuat oleh anggota DAP.

Sekurang-kurangnya lima NGO telah membuat laporan polis berhubung kenyataan Pua itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan