Pemimpin Berani & Berjuang Secara Ikhlas Perlu Dipilih - Shahidan

Diterbitkan: Jumaat, 11 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Pasukan Umno yang diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak patut dipilih dari kalangan mereka yang berani dan berjuang secara ikhlas, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Jumaat.

Beliau berkata nilai kepimpinan akan longgar jika ada dalam kalangan pemimpin yang menyuarakan kesanggupan berjuang tetapi tidak berani melaksanakan atau bertindak berlandaskan perjuangannya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan calon-calon Umno bagi kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno dan tiga sayap parti di sini Jumaat, beliau berkata anggota perwakilan bebas menggunakan hak demokrasi untuk memilih pemimpin yang terbaik.

Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata apa yang lebih penting, mereka yang dipilih kelak perlu mempunyai semangat yang tinggi dan sanggup berjuang dengan berani serta amanah bagi memastikan kekuatan pasukan Umno.

Shahidan yang akan mempertahan kerusi Ketua Umno Bahagian Arau berkata Umno juga perlu melalui proses transformasi tetapi tidak semestinya perubahan itu perlu menolak golongan berpengalaman dalam parti.

Katanya ada yang berpendapat bahawa transformasi dalam parti bermaksud kepimpinan dalam parti juga perlu diubah sedangkan perkara itu bukan sesuatu yang wajar.

"Setiap masalah dalam parti boleh diselesaikan dan menukar pemimpin bukan caranya, kerana jika amalan menukar pemimpin setiap kali ada masalah dalam parti, ia juga tidak akan menyelesaikan masalah," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan