Khairy, Shahrizat Dijangka Pertahan Jawatan

Diterbitkan: Jumaat, 11 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dijangka mengekalkan jawatan mereka pada pemilihan pergerakan Pemuda dan Wanita Umno, Sabtu ini.

Pemerhati politik berkata kedua-duanya mendapat sokongan padu kerana mereka merupakan penyandang bagi jawatan tersebut.

Namun mereka diingatkan supaya tidak terlalu yakin kerana hampir 220,000 perwakilan akan mengundi pada pemilihan bagi peringkat tiga sayap Umno.

Sebelum ini, hanya 2,000 perwakilan mengundi, menjadikan keputusan pemilihan tersebut mudah untuk diramal.

Karier politik, Khairy, 37, melonjak selepas beliau dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan selepas pilihan raya umum ke-13, Mei lalu.

Sementara itu, bagi Shahrizat, 60, beliau terus dihantui oleh skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) melibatkan keluarganya.

Namun, beliau tetap mendapat kepercayaan dengan pelantikannya sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri pada Ogos untuk menyelia pembangunan usahawan wanita dan profesional.

Khairy berdepan empat pencabar dengan apa yang disifatkan sebagai pertandingan antara 'politik barunya' dan pencabarnya yang mewakili suara-suara yang menuntut pergerakan itu supaya memberi lebih tumpuan dalam memperjuangkan kepentingan kaum Melayu.

Kepimpinan dalam Umno percaya Khairy mempunyai kelebihan kerana tiada pencabar beliau - Akhramsyah Sanusi, Syed Rosli Syed Harman, Mohd Karim Ali dan Irwan Ambak Khalid Izhar - adalah bukan calon heavyweight.

Pada pemilihan parti 2009, Khairy menewaskan calon lebih berpengaruh - (kini Menteri Besar Kedah) Datuk Mukhriz Mahathir dan (kemudian Menteri Besar Selangor) Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Shahrizat, yang akan menentang Datuk Maznah Mazlan dan Raihan Suleiman, menghadapi ujian getir dalam karier politiknya selepas skandal NFC terbongkar, dua tahun lalu.

Skandal itu memaksa beliau meletak jawatan dalam Kabinet tetapi menjejaskan sedikit imejnya dalam pergerakan Wanita Umno.

Beliau secara rasminya masih mendapat sokongan majoriti 191 Ketua Wanita Bahagian yang memberi kelebihan besar kepadanya berbanding pencabar lain.

"Sejak Shahrizat mengambil alih jawatan pada 2009, beliau sentiasa menjaga peringkat akar umbi dan oleh sebab itu beliau kini masih menerima sokongan padu daripada mereka walaupun timbul perasaan tidak puas hati berhubung isu NFC," kata seorang ketua Wanita Bahagian.

Shahrizat mengakui sukar untuk mengukur peluangnya.

"Apabila saya pergi berjumpa dengan peringkat akar umbi, sokongan itu ada dan nampak ikhlas tetapi kita tidak boleh memandang remeh perkara itu," katanya.

Harus diingat, walaupun pencabar Shahrizat mungkin tidak begitu hebat, pergerakan Wanita sebelum ini melakukan kejutan apabila Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman menewaskan Tan Sri Rafidah Aziz pada pemilihan parti 1996.

Dalam kes Khairy, Akhramsyah yang merupakan anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dilihat sebagai pencabar utamanya kerana beliau mendapat sokongan daripada ahli-ahli yang mahukan pergerakan itu memperjuangkan kepentingan kaum Melayu.

"Cabaran itu bukan saja untuk Khairy tetapi untuk keseluruhan parti kerana pemilihan tersebut akan menunjukkan arah yang dipilih Umno," kata penganalisis politi, Prof. Madya Shaharuddin Badaruddin.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan