Kepimpinan Sayap Pemuda & Wanita PBB Kekal

Diterbitkan: Jumaat, 11 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Kepimpinan sayap Pemuda dan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kekal apabila Ketua Pemuda yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof, mengekalkan jawatan tanpa bertanding setelah pencalonan ditutup petang Jumaat.

Ketua Wanita Datuk Seri Empiang Jabu dan timbalannya Datuk Fatimah Abdullah, yang juga Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, turut mengekalkan jawatan masing-masing tanpa bertanding.

Pengerusi jawatankuasa pemilihan PBB Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata pengundian bagi jawatan yang dipertandingkan akan diadakan di ibu pejabat PBB di sini pada 13 Oktober menjelang pemilihan parti pada 18 Oktober yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

"Kedudukan penyandang jawatan tertinggi tidak berubah bagaimanapun terdapat perubahan dalam pergerakan Pemuda apabila Gerald Rentap Jabu menang jawatan timbalan ketua tanpa bertanding selepas berkhidmat sebagai setiausaha yang dilantik sebelum ini," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PBB di sini selepas keputusan diumumkan.

Beliau berkata tiga jawatan naib presiden bagi sayap Wanita turut dimenangi tanpa bertanding oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim, Senator Datuk Dayang Madinah Tun Abang Openg daripada sayap Bumiputera dan Datin Catharine Gramong daripada sayap Pesaka. Bagaimanapun, kata Mohamad Asfia, pergerakan Pemuda akan menyaksikan pertandingan tiga jawatan yang diperuntukkan bagi naib presiden, termasuk dua slot bagi sayap Pesaka dan satu slot bagi sayap Bumiputera.

Pertandingan turut berlaku bagi 15 jawatan majlis tertinggi pergerakan Pemuda dan Wanita PBB, yang mengadakan perhimpunan agung tiga tahun sekali dari 18 hingga 22 Oktober ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan