Jawatankuasa Keusahawanan Global Bantu Bakal Usahawan - Kerry

Diterbitkan: Jumaat, 11 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat Penny Pritzker akan mengetuai satu jawatankuasa mengenai keusahawanan global yang akan memberi bimbingan ke arah mewujudkan kejayaan keusahawanan generasi baharu.

Semasa mengumumkannya pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) 2013 di sini Jumaat, Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry berkata Presiden Barack Obama dijangka menamakan anggota jawatankuasa presiden menjelang akhir tahun.

"Ia akan menghubungkan usahawan (baharu) dengan mentor yang boleh membimbing mereka. Seperti yang kita tahu, memulakan perniagaan adalah satu tugas yang sukar.

"Setiausaha Pritzker akan mengetuai jawatankuasa ini yang akan bertindak sebagai guru dan ... berusaha ke arah kisah kejayaan generasi baharu," kata beliau dalam ucapan pada sidang kemuncak dua hari itu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Usaha berkenaan adalah antara beberapa inisiatif baharu diumumkan Kerry, yang mewakili Obama pada sidang kemuncak itu, bagi meningkatkan keusahawanan yang dilihat sebagai jentera penting dalam memajukan ekonomi dan pembangunan negara serta memperbaiki kehidupan rakyat.

Obama tidak dapat menghadiri sidang kemuncak di ibu negara Malaysia, kerana perlu menangani penutupan separa kerajaan Amerika Syarikat.

Kerry juga mengumumkan satu lagi langkah yang akan menyaksikan sehingga 500,000 usahawan disokong dan dilatih di 1,000 bandar di seluruh dunia, termasuk Kuala Lumpur.

Di samping itu, beliau berkata rangkaian penyelidikan baharu akan diwujudkan untuk membantu penggubal dasar dalam menggalakkan pertumbuhan keusahawanan.

Bagi tujuan ini, presiden akan bergabung tenaga dengan organisasi yang berkaitan seperti Bank Dunia dan Kauffman Foundation dan entiti lain, katanya.

Edisi keempat GES telah menarik kira-kira 4,700 peserta dari lebih 100 negara. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan