Jangan Buat Spekulasi Mengenai Nahas Pesawat - Hishammuddin

Diterbitkan: Jumaat, 11 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai nahas pesawat Twin Otter MASWings di Kudat, Sabah semalam yang mengorbankan dua orang, sehingga siasatan penuh dijalankan.

"Kita tidak tahu apa puncanya. Mungkin punca tidak ada kena mengena dengan pesawat. Kita tidak mahu buat spekulasi," kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kepada pemberita selepas Karnival Kedaulatan, Keselamatan dan Kesejahteraan Negara (4KN) di sini, Jumaat.

Beliau berkata setakat ini tidak ada arahan untuk menghentikan operasi pesawat berkenaan yang lain.

Hishammuddin juga berkata beliau belum menerima laporan awal mengenai insiden itu dan akan ke Kudat esok untuk berbincang dengan pihak yang sedang membuat siasatan.

"Lihat kepada laporan yang ada, saya tidak puas hati. Saya mahu turun sendiri berjumpa dengan mereka terlibat. Saya sudah arahkan pihak DCA (Jabatan Penerbangan Awam), MAS (Malaysia Airlines) dan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara di Kementerian Pengangkutan berhubung perkara itu," katanya.

Dalam kejadian 2.50 petang itu, pesawat membawa 16 orang termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang yang dari Kota Kinabalu, terbabas ketika mendarat di Landasan Terbang Kudat lalu merempuh sebuah rumah di Kampung Sin San.

Terbunuh dalam nahas itu ialah penumpang Tan Ah Chai, 96, yang mati ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Kudat manakala pembantu juruterbang, Marc Joel Bansh, 23, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

Ditanya mengenai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang akan dikendalikan sebuah syarikat milik penuh kerajaan, Hishammuddin berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kehendak orang ramai.

Sebagai syarikat milik penuh kerajaan, AES Solutions Sdn Bhd akan mengambil alih pengurusan AES daripada ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan