'Saya Yakin Terhadap Visi Jika Menang Ketua Wanita' - Shahrizat

Diterbitkan: Khamis, 10 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil mengadakan sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Terakhir menjelang pemilihan Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada Khamis. -Foto BERNAMA
Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil mengadakan sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Terakhir menjelang pemilihan Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada Khamis. -Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Penyandang Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, beliau yakin terhadap visi perjuangannya sekiranya berjaya mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti kali ini.

Shahrizat bagaimanapun berkata, penerimaan terhadapnya di peringkat akar umbi dilihat amat baik.

"Apa yang saya tahu, bila saya turun ke negeri-negeri dan peringkat Bahagian, sambutan mereka itu saya nampak ikhlas dan pertalian silaturrahim kami begitu baik sekali.

"Tetapi untuk menang atau sebaliknya (dalam pemilihan), itu saya serahkan kepada perwakilan untuk menentukannya," katanya kepada para pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Exco Wanita Umno di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keyakinannya dalam mempertahankan jawatan Ketua Wanita pada pemilihan sayap 12 Oktober ini.

Menurut Shahrizat, beliau tidak seharusnya mengambil kesempatan terhadap penerimaan tersebut tetapi sebaliknya terus berjuang dan bekerja keras.

"Apapun kita tidak boleh mengambil kesempatan itu kerana dalam pertandingan kita mesti berhati-hati.

"Tetapi saya mempunyai keyakinan terhadap visi saya sekiranya menang, saya tahu apa saya nak buat kalau saya menang," katanya.

Tambah Shahrizat, beliau hendak memperjuangkan fasa kedua kepimpinannya sekiranya terus diberi peluang untuk menerajui Wanita Umno.

"Saya hendak memberi tumpuan untuk mengarusperdanakan Wanita Umno dalam politik.

"Saya hendak tentukan Wanita Umno supaya diiktiraf sebagai tulang belakang Umno dan bukan lagi sayap parti.

"Saya begitu komited mengenai perkara itu dan ia akan menjadi perjuangan kami," katanya.

Jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno menyaksikan persaingan tiga penjuru pada pemilihan sayap parti 12 Oktober ini.

Perebutan jawatan itu melibatkan penyandangnya, Shahrizat yang bakal menerima tentangan daripada Ahli Umno Kulim-Bandar Baharu, Raihan Sulaiman Palestin dan bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan