PAS Yakin Pertahan DUN Sungai Limau - Hadi

Diterbitkan: Khamis, 10 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: PAS meletakkan keyakinan yang tinggi untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada pilihan raya kecil yang akan diadakan 4 November depan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau optimis parti itu dapat mengekalkan jumlah majoriti undi yang dimenangi bekas penyandang kerusi berkenaan, Tan Sri Azizan Abdul Razak pada Pilihan Raya Umum ke-13 Mei lalu.

"Keyakinan itu ada...insyaAllah kita akan berusaha untuk tambah lagi undi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di sini, Khamis.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak dalam kawasan Parlimen Jerai diisytihar kosong berikutan kematian penyandangnya, Azizan yang juga bekas Menteri Besar Kedah, pada 26 September lepas.

Pada PRU-13 lalu, Azizan mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 untuk PAS, dengan menewaskan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang mewakili Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 2,774 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau diadakan pada 4 November manakala hari penamaan calon ditetapkan 23 Oktober.

Mengulas mengenai calon, Abdul Hadi berkata Jawatankuasa PAS Pusat akan mempertimbangkan lapan nama yang disenarai pendek untuk diketengahkan sebagai calon yang akan mewakili parti itu.

"Kesemua lapan nama yang dihantar oleh PAS negeri dan kawasan ini terdiri daripada pelbagai latar belakang sama ada ahli agama mahupun profesional.

"Kesemua mereka adalah calon anak tempatan. Tak ada pimpinan PAS Pusat yang disenaraikan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan