Dasar Bumiputera Perlu Bagi Memperbaiki Jurang Antara Kaum - Dr Mahathir

Diterbitkan: Khamis, 10 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad percaya dasar Bumiputera kerajaan yang terkini adalah perlu untuk memperbaiki jurang perbezaan antara kaum.

"Ia bukan satu kes memihak kepada Bumiputera, tetapi kes mewujudkan sebuah masyarakat di mana kekayaan sama rata di kalangan semua rakyat," katanya Khamis, selepas melawat kerja-kerja pembinaan dan terowong bawah tanah Mass Rapid Transit (MRT) Gamuda Lembah Klang di Cheras, Khamis.

Beliau berkata pengkritik lupa pada masa lalu apabila kemarahan golongan miskin menyebabkan pemberontakan terhadap kerajaan dan pertumpahan darah serta pembunuhan beramai-ramai berlaku di negara-negara lain yang membawa kepada revolusi keganasan di negara-negara seperti Perancis dan Rusia.

"Jika kemiskinan juga dikaitkan dengan bangsa, potensi keganasan adalah lebih besar. Kami mahu membetulkan jurang perbezaan antara yang kaya dan miskin dan perbezaan antara kaum," kata Dr Mahathir.

Beliau menegaskan kebanyakan negara lain tidak mempunyai kepelbagaian kaum seperti di Malaysia dan ini perlu ditangani dengan tepat.

"Hari ini masyarakat menjadi lebih rasis berbanding sebelum ini. Setiap bangsa mempunyai pelampau sendiri dan mereka membuat tuntutan yang mengganggu kestabilan negara. Apabila negara tidak stabil ia tidak boleh maju," katanya.

"Adalah jauh lebih baik membuat sedikit pengorbanan dalam masyarakat kita supaya setiap kaum boleh mempunyai bahagian dalam semua usaha yang sedang dijalankan di negara ini. Itulah bagaimana Malaysia harus maju dengan semua bangsa bersama-sama mencapai Wawasan 2020 yang juga boleh dicapai lebih awal," kata Dr Mahathir.

September lalu, kerajaan telah mengumumkan langkah-langkah dan strategi baru untuk memperkasa ekonomi bumiputera.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bidang tumpuan termasuk meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat serta pemilikan aset.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan