62 Calon Ketua Wanita Umno Bahagian Menang Tanpa Bertanding

Diterbitkan: Khamis, 10 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seramai 62 daripada 191 calon Ketua Wanita Umno di peringkat Bahagian telah menang tanpa bertanding bagi pemilihan parti kali ini.

Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, manakala calon-calon lain akan terus bertanding pada pemilihan sayap parti 12 Oktober ini.

"Seramai 110,765 perwakilan Wanita daripada 19,663 cawangan Wanita akan memilih pemimpin-pemimpin yang mereka berikan kepercayaan dan tanggungjawab.

"Program Simulasi Pemilihan telah dijalankan di kesemua 191 Bahagian bagi memastikan kelancaran proses pemilihan. Saya berharap pemilihan ini akan berjalan lancar dan penuh berhemah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Exco Wanita Umno di sini, Khamis.

Antara 62 Ketua Wanita Umno Bahagian yang menang tanpa bertanding adalah dari Alor Setar, Besut, Kampar, Subang, Kepong, Cheras, Kuala Pilah, Rembau, Ayer Hitam, Muar, Labuan dan Tawau.

Ini termasuk Bahagian Jerai, Hulu Terengganu, Lumut, Tanjong Malim, Serdang, Mersing, Kota Tinggi, Papar dan Penampang.

Shahrizat berkata, selain peringkat Bahagian, hanya satu jawatan dalam sayap yang dimenangi tanpa bertanding oleh Tan Sri Napsiah Omar bagi jawatan Pengerusi Tetap Wanita Umno.

"Bagi pemilihan (sayap) kali ini sebanyak dua calon bertanding bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Wanita, (tiga) Ketua Wanita, (dua) Naib Ketua dan (44) bagi jawatan Exco Wanita," katanya.

Shahrizat menasihatkan para perwakilan supaya memilih calon-calon yang dirasakan mampu membawa pergerakan Wanita Umno di peringkat kebangsaan dan Bahagian ke satu tahap kecemerlangan.

"Kita memang mahu menentukan perjuangan dan arus perdanakan Wanita dalam Umno dan politik supaya berjalan dengan baik sekali," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan