Tiga Pemancing Asing Diselamatkan Nelayan

Diterbitkan: Selasa, 8 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Tiga pemancing rakyat asing yang berlindung di sebuah pulau dekat Nenasi, Rompin selepas bot mereka karam dipukul ombak besar, diselamatkan oleh seorang nelayan tempatan, Isnin.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata dua pemancing itu adalah rakyat Switzerland iaitu Mark Christoph Haeusseermann, 46, dan Gondini Gallis Fravi, 31, manakala seorang lagi lelaki Filipina, Ferdenand Fune, 31.

Beliau berkata tiga sahabat itu berlepas dari Rompin dengan sebuah bot Tomalina untuk memancing pada 3 pagi Ahad lepas dan apabila sampai berhampiran Pulau Berhala, bot mereka dipukul ombak besar sebelum karam.

"Ketiga-tiga mangsa berenang selama 40 minit menuju ke pulau itu untuk menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi, Selasa.

Beliau berkata ketiga-tiga mereka diselamatkan nelayan tempatan, Roslan Ahmad, 50, yang ternampak mereka melambai ke arahnya ketika dia mengangkat bubu ikan ke dalam botnya berhampiran pulau itu kira-kira 3 petang Isnin.

Yahaya berkata ketiga-tiga mereka kemudian dibawa ke Jeti Kuala Pahang.

"Mereka kehilangan dokumen peribadi dan beberapa barangan berharga," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan