Saya Tidak Halang Demokrasi Dalam Gerakan - Chang

Diterbitkan: Selasa, 8 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn menjelaskan kenyataannya agar dua jawatan tertinggi parti itu tidak perlu dipertandingkan bukan bermaksud mahu menghalang amalan demokrasi dalam struktur kepimpinan komponen Barisan Nasional (BN) itu.

Mengakui menerima kritikan daripada ahli Gerakan sendiri, Chang bagaimanapun berkata kenyataan itu merupakan pandangan peribadinya demi kepentingan parti khususnya bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dalam parti.

"Saya suarakan pandangan bahawa lebih baik kita elak berlakunya pertandingan. Saya perhatikan amalan politik di Malaysia agak berbeza kerana pertandingan dalam parti akan menyebabkan perpecahan dalaman.

"Dalam suasana politik sekarang, Gerakan tidak boleh biarkan imej parti ini tercalar. Walau bagaimanapun kita tidak menghalang ahli daripada bertanding," katanya pada sidang media di Menara PGRM di sini, Selasa.

Sebelum ini Chang dilaporkan berkata bahawa beliau berpendapat dua jawatan tertinggi parti itu tidak perlu dipertandingkan pada pemilihan 26 Oktober ini bagi mengelak kesan negatif.

Mengulas mengenai pendiriannya sendiri sama ada mahu menawarkan diri bertanding merebut jawatan nombor satu parti itu, Chang bagaimanapun berkata beliau masih belum membuat keputusan mengenainya.

"Saya belum buat keputusan untuk bertanding ataupun tidak. Bagi saya kepentingan parti adalah yang utama," katanya.

Tambah Chang sehingga kini beliau dimaklumkan bahawa terdapat dua pemimpin parti itu yang dikatakan mahu menawar diri bertanding jawatan Presiden Gerakan.

"Dua pemimpin itu pastinya tidak termasuk saya sendiri. Selain itu tidak kurang daripada sepuluh pemimpin turut dikatakan mahu bertanding jawatan Naib Presiden.

"Manakala bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat, mungkin terdapat lebih daripada 30 calon berminat merebut 18 kerusi yang dipertandingkan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan