Polis Tiada Kuasa Eksekutif Langsung Dalam PCA - KPN

Diterbitkan: Selasa, 8 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis tidak mempunyai kuasa eksekutif langsung dalam Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata ia menjadikan akta itu berbeza daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang disifatkan sesetengah pihak sebagai zalim.

"Perbezaan paling ketara ialah dari segi kuasa...sebenarnya ISA sepenuhnya kuasa eksekutif manakala PCA sepenuhnya kuasa 'judiciary' (badan kehakiman) dan lembaga.

"Daripada tangkapan awal lagi, tangkapan 24 jam kepada polis, kemudian reman 21 hari di hadapan Majistret, kemudian reman 38 hari di hadapan Presiden Mahkamah Sesyen, kemudian ke lembaga dan bila ada apa juga perkara atau ada pihak yang tidak berpuas hati, dia pergi ke mahkamah," katanya selepas majlis penyampaian cek daripada Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) di sini, Selasa.

Pada majlis yang berlangsung di Bukit Aman itu, Khalid menerima cek bernilai RM10,500 daripada Penasihat POKB Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh untuk diserah kepada Atiqah Mohd Rosdi, balu Sjn Zal Azri Abd Somad yang terkorban ketika menjalankan tugas di Melaka pada 23 September lepas.

Beliau sekali lagi menekankan bahawa yang paling penting ialah PCA menyasarkan penjenayah terancang.

Khalid berkata sesi penerangan kepada orang ramai atau pihak berkaitan mungkin akan dilakukan bagi memberi gambaran yang jelas berkaitan kedua-dua akta itu.

Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan bagi tujuan ketenteraman awam, keselamatan awam atau pencegahan jenayah, diluluskan di Dewan Rakyat, Khamis lepas.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sebuah blog dilapor sebagai mendakwa kononnya PCA adalah zalim, melanggar perlembagaan dan tidak berperikemanusiaan.

Ditanya mengenai persediaan polis pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau di Kedah, Khalid berkata pasukan pemantau telah dihantar ke kawasan itu untuk melakukan tinjauan dan menilai keadaan di sana.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan