Penamaan Calon Pemilihan Gerakan 19 Oktober

Diterbitkan: Selasa, 8 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Proses penamaan calon bagi pemilihan parti Gerakan kali ini dijadual pada 19 Oktober, kata Pemangku Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn.

Beliau berkata seramai 2,000 perwakilan akan memilih barisan pucuk pimpinan parti yang baharu pada Persidangan Perwakilan Nasional ke-42 Parti Gerakan 26 Oktober ini.

"Para perwakilan akan memilih seorang presiden, seorang timbalan presiden, tiga naib presiden dan 18 anggota jawatankuasa pusat. Jumlah rasmi mereka yang bertanding dalam pemilihan parti Gerakan kali ini akan diumumkan selepas proses penamaan tamat pada 19 Okt nanti," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Gerakan di Menara PGRM di sini, Selasa.

Chang berkata sejumlah tujuh negeri akan menyaksikan pertandingan bagi merebut jawatan pengerusi negeri.

"Negeri-negeri itu ialah Kuala Lumpur, Melaka, Selangor, Perak, Pahang, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Daripada tujuh negeri ini, lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan melibatkan calon muka baharu," katanya.

Jelasnya lima negeri yang tidak ada pertandingan ialah Kedah, Sabah, Kelantan, Terengganu dan Johor.

Mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Limau, Kedah pada 4 November ini, Chang berkata Pengerusi Parti Gerakan Kedah Dr Cheah Soon Hai telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi membantu jentera Barisan Nasional (BN).

"Antara aktiviti anggota jawatankuasa itu ialah mengadakan lawatan dari rumah ke rumah bagi menjelaskan pelbagai isu melibatkan pengundi kawasan itu," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan