Pemilihan Umno: 1,703 Perwakilan Muflis, Tidak Layak Mengundi

Diterbitkan: Isnin, 7 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seramai 1,703 daripada 146,000 perwakilan tidak layak untuk mengundi pada pemilihan Umno, 12 dan 19 Oktober ini kerana didapati muflis.

Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abdul Rauf Yusoh berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan peraturan yang ditetapkan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Mereka yang didapati muflis dibawah peraturan yang diluluskan pendaftar pertubuhan, mereka tak boleh dipilih, memilih dan mengundi selain di peringkat cawangan.

"Mereka ini juga tidak boleh mewakili cawangan ke peringkat bahagian dan seterusnya ke peringkat perwakilan di perhimpunan Agung Umno di PWTC," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Isnin.

Abdul Rauf berkata mereka (perwakilan) akan dimaklumkan mengenai perkara itu menerusi saluran bahagian masing-masing secepat mungkin.

"Salinan daripada jabatan insolvensi akan disertakan bagi memastikan bahawa semua rujukan telah dibuat dan mendapati perwakilan ini tidak boleh menghadiri mesyuarat,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai 39 calon di peringkat bahagian yang tidak dibenarkan bertanding kerana dikenakan tindakan disiplin, Abdul Rauf berkata mereka didapati melakukan sabotaj parti pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Mei lalu.

"Kes disiplin yang diputuskan adalah kes-kes yang telahpun disiasat sewaktu kes sabotaj pada PRU yang lepas.

"Lembaga disiplin telah bersidang dan melakukan siasatan. Jadi mereka yang digugurkan hak sebagai ahli telah didapati bersalah," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan