Dr Lee Dipilih Pengerusi Baharu Gerakan Perak

Diterbitkan: Ahad, 6 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dr Lee Chee Pheng
Dr Lee Chee Pheng

IPOH: Pengerusi Gerakan Bahagian Gopeng Dr Lee Chee Pheng pada Ahad dipilih sebagai pengerusi Gerakan Perak dalam pemilihan yang berlangsung di sini.

Kemenangan Lee, 52, pemegang Ijazah Doktor Falfasah dalam Pendidikan dan Sains Sukan diumumkan pengerusi penyelia pemilihan Datuk Mah Siew Keong.

Lee meraih 211 undi sekali gus mengalahkan pencabarnya Datuk Tan Lian Hoe yang juga Ketua Wanita Gerakan yang mendapat 178 undi.

Ketika mengulas kemenangannya, Lee berkata ia adalah pertandingan yang sengit dan berterima kasih kepada barisan pemimpin Gerakan, pasukan kempen di samping perwakilan yang menaruh keyakinan untuk mengundinya.

"Apa yang telah saya janjikan semasa kempen akan saya laksanakan. Kita akan membawa semula Gerakan sebagai sebuah parti yang efisien dan dihormati. Kita akan segera mengadakan mesyuarat pertama dan mengemaskinikan pentadbiran parti sebelum membentuk biro.

"Kita akan bekerja segera, tiada masa lagi untuk menunggu pilihan raya umum akan datang," katanya kepada pemberita pada persidangan perwakilan Gerakan Perak.

Lee yang menerajui kepimpinan Gerakan di Gopeng selama lapan tahun berkata anggota parti sedia maklum bahawa Gerakan perlu berubah dengan pelbagai idea dan pemimpin baharu kerana senario politik pada masa sekarang sudah berbeza.

"Program yang paling penting yang kita akan laksanakan adalah 'intrinsic value programme', maknanya kita perlu buat analisis apakah keperluan rakyat yang sebenarnya.

"Ini yang paling mustahak, bukan hanya beri kemudahan infrastruktur, kerana infrastruktur di negara memang bertaraf dunia namun rakyat masih tidak gembira dengan ini semua, ada sesuatu yang kita tidak kenal pasti," katanya.

Beliau yakin apabila Gerakan melancarkan program berkenaan, sokongan kepada parti itu akan kembali meningkat.

Sementara itu, Tan berkata beliau tidak kecewa dengan kekalahannya itu, sebaliknya menyuntik semangat untuk terus menyumbang lebih banyak kepada parti.

"Pertandingan kita buat secara sihat, menang atau kalah bukan satu masalah besar, yang penting kita mahu parti Gerakan sentiasa mempunyai semangat 'Satu Hati' dan kita tetap memberi kerjasama erat untuk memastikan Gerakan kembali menjadi pilihan rakyat," katanya.

Datuk Chang Ko Youn, penyandang pengerusi Gerakan Perak selama dua penggal, tidak mempertahankan jawatan itu pada pemilihan kali ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan