Malaysia-China Unjur Dagangan Dua Hala AS$160 Bilion Menjelang 2017 - Berita Semasa | mStar

Malaysia-China Unjur Dagangan Dua Hala AS$160 Bilion Menjelang 2017

Diterbitkan: Jumaat, 4 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Malaysia dan China mengunjurkan dagangan dua hala kedua-dua negara berjumlah AS$160 bilion menjelang 2017, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, dalam pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping di sini Jumaat, mereka turut membincangkan program lima tahun membabitkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara, serta bersetuju meningkatkan kerjasama strategik semasa Malaysia-China dalam "Perkongsian Strategik Komprehensif".

Perdana Menteri berkata, China juga menyuarakan minat untuk mengambil bahagian dalam projek kereta api berkelajuan tinggi, selain Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou serta Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan, yang memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

"Kami juga membincangkan kerjasama dalam perkhidmatan kewangan. Kami mahu melihat lebih banyak perdagangan antara negara diselesaikan menggunakan mata wang tempatan, Renminbi dan Ringgit," katanya pada sidang media bersama Xi selepas kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan tertutup di Pejabat Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra di sini, Jumaat.

"Maklumat perlu disebarkan kepada sektor swasta kedua-dua negara. Kami juga bersetuju supaya institusi kewangan di Malaysia dan China memain peranan yang lebih besar di kedua-dua negara," katanya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan