2.5 Juta Pekerja Asing Perlu Ada I-Kad

Diterbitkan: Jumaat, 4 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menguatkuasakan penggunaan I-Kad kepada kira-kira 2.5 juta pekerja asing di negara ini secara berperingkat bermula 15 November ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengeluaran pertama kad itu akan disasarkan kepada seramai 646, 000 pekerja asing sedia ada di negara ini.

Jelasnya, kad itu akan dikeluarkan oleh Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB).

Menurut Ahmad Zahid, kad tersebut akan dilengkapi dengan beberapa ciri-ciri keselamatan yang telah diperbaharui seperti biometrik dan kod bar yang akan dijadikan rujukan apabila operasi penguatkuasaan dijalankan.

"Kad itu juga akan digunakan oleh anggota penguatkuasaan bagi menentukan kesahihan sama ada pekerja asing itu memperoleh dokumen yang dikeluarkan Jabatan Imigresen," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja dan majlis pelancaran Al-Quran Tafsir Ar-Rahman PNMB di sini, Jumaat.

Ahmad Zahid berkata, warna kad tersebut akan dikeluarkan mengikut sektor pekerjaan.

"Pengeluaran kad mengikut warna itu adalah bertujuan bagi menggantikan keperluan asal golongan ini membawa pasport sebagai dokumen penting bagi menentukan mereka adalah pekerja asing yang sah," katanya.

Beliau berkata, kad tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh pekerja dan tidak melibatkan kos tambahan kepada majikan.

Jelas Ahmad Zahid, menerusi pengeluaran kad itu, beliau yakin sistem penguatkuasaan dapat diperkukuhkan dalam usaha mengusir pendatang asing tanpa izin (Pati) yang masih berada di negara ini.

"Kita harap apabila I-Kad ini dikeluarkan sepenuhnya, anggota penguatkuasaan akan meneruskan operasi untuk membersihkan Pati di negara ini," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, selain pekerja asing, pengenalan I-Kad juga akan dikuatkuasakan kepada semua pelajar asing yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan