19,342 Pemohon BL1M Gagal Dikesan - Berita Semasa | mStar

19,342 Pemohon BL1M Gagal Dikesan

Diterbitkan: Khamis, 3 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sejumlah 19,432 daripada 139,434 pemohon Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) gagal memberi maklum balas untuk meneruskan program tersebut.

Setiausaha BL1M Mohamad Faiz Yaacob berkata pihak urus setia mengalami kesukaran untuk menghubungi golongan tersebut dan mengakibatkan proses penjadualan semula program itu terjejas.

"Ada juga segelintir daripada mereka yang dapat kita hubungi, tetapi apabila kita membuat penjadualan semula, mereka gagal memberi komitmen untuk menghadirkan diri ke kelas memandu yang disediakan.

"Ini memberi masalah kepada pihak urus setia kerana proses ini turut melibatkan pihak ketiga iaitu institut memandu," katanya dalam sidang media di sini, Khamis.

Program BL1M merupakan antara inisiatif Pergerakan Pemuda Umno di bawah kelolaan Sekretariat Hal Ehwal Bandar bagi membolehkan penunggang motosikal muda memperoleh lesen B2 dengan kadar yang lebih murah.

Mengikut statistik BL1M, daripada 139,434 orang pemohon yang mendaftar untuk mengikuti kursus itu, sejumlah 18,446 orang berjaya menamatkan keseluruhan kursus untuk mendapat lesen sementara 19,432 orang lagi gagal dihubungi untuk meneruskan kursus.

Pengarah Eksekutif Kumpulan MyEG yang melaksanakan kursus itu Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha pula berkata pihaknya sudah membuat ketetapan agar peserta program yang gagal dalam ujian komputer sebanyak tiga kali akan dibenarkan untuk menduduki ujian sehingga mereka lulus. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan