Obama Tangguh Datang Ke Malaysia

Diterbitkan: Rabu, 2 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu mengumumkan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama menangguhkan lawatannya ke Malaysia bulan ini berikutan penutupan operasi sebahagian agensi pentadbiran negara itu.

Najib berkata beliau menerima panggilan telefon daripada Obama pagi tadi untuk memaklumkan mengenai penangguhan lawatan tersebut.

Perdana Menteri berkata beliau memahami masalah dalaman yang dihadapi Obama dan cabaran yang dihadapi Presiden AS itu dalam menaikkan had maksimum hutang negara pada 17 Oktober ini.

"Namun demikian, Obama menyatakan beliau tetap berhasrat melakukan lawatan ke Malaysia pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

"Saya menyatakan padanya saya faham keadaan domestik di AS tidak mengizinkannya melakukan lawatan ke Malaysia sekarang, dan sekiranya beliau datang, juga sudah tentu akan dipertikaikan masyarakat di sana," kata Perdana Menteri pada sidang media selepas melancarkan pembinaan Hangar Kedua Pusat Penyelenggaraan dan Baikpulih (MRO) Pesawat Airbus Serantau dan Kemudahan Perkhidmatan Pelanggan Airbus di sini Rabu.

Najib berkata Obama turut menyatakan bahawa beliau tetap komited untuk membuat lawatan ke Malaysia.

"Beliau (Obama) menghargai peranan yang dimainkan oleh Malaysia dan juga hubungan dua hala Malaysia dan Amerika Syarikat," kata Najib.

Presiden Amerika itu, dalam rancangan lawatannya yang pertama ke negara ini, dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak Keusahawanan Global Keempat (GES) 2013 di Kuala Lumpur pada 11 Oktober.

Pejabat Pengurusan dan Belanjawan Rumah Putih semalam mengarahkan operasi sebahagian agensi kerajaan AS ditutup selepas Kongres gagal mencapai kompromi untuk meluluskan satu rang undang-undang perbekalan kerajaan, kali pertama seumpamanya dalam tempoh 17 tahun.

Najib berkata Obama turut memaklumkan bahawa beliau akan diwakili oleh Setiausaha Negara AS John Kerry, Setiausaha Perdagangan Penny Pritzker dan wakil perdadangan AS Michael Froman ke sidang kemuncak tersebut.

"Ia merupakan sesuatu yang tidak dijangka dan tidak terduga (mengenai krisis) ... saya bersimpati dan faham, sekiranya saya berada dalam situasinya, saya akan melakukan perkara yang serupa, apabila menghadapi krisis domestik yang besar sudah tentu sangat sukar bagi Presiden AS meninggalkan negaranya.

Semasa ditanya sama ada krisis berkenaan akan menjejaskan ekonomi Malaysia, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata perkara itu tidak akan memberi kesan dalam jangka masa segera.

"Tetapi kita tidak tahu selama mana penutupan itu akan berterusan.

"Kesan yang paling serius adalah pada 17 Oktober apabila (sekiranya) mereka tidak mengkaji semula had maksimum hutang, bermakna ia akan memberi kesan serius kepada ekonomi AS. Dengan kelembapan dan, lebih buruk (jika berlaku) kemelesetan, ia tentunya akan mempengaruhi pertumbuhan global dan termasuk Malaysia.

"Namun, ia masih terlalu awal untuk menyatakan. Kita akan memantau keadaan dengan rapi," kata beliau.

Semasa ditanya mengenai sama ada Malaysia akan meneruskan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) setelah AS sebagai negara tuan rumah berdepan dengan krisis, Najib berkata: "ia suatu yang berbeza daripada krisis semasa di AS yang tertakluk kepada proses dalaman. Ia tiada kaitan dengan TPPA ". - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan