Laporan Audit: Kementerian Kewangan Akan Teliti Penjelasan Jabatan Kastam - Berita Semasa | mStar

Laporan Audit: Kementerian Kewangan Akan Teliti Penjelasan Jabatan Kastam

Diterbitkan: Rabu, 2 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan akan meneliti penjelasan yang diberikan Jabatan Kastam berhubung pembaziran berjumlah RM602,089 dalam pembelian kasut kepada kakitangannya sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata sekiranya penjelasan itu masih tidak mencukupi, maka penjelasan terperinci perlu dibuat bagi memastikan tiada berlakunya penyelewengan.

"Kita perlu lihat penjelasan Jabatan Kastam. Kita juga kena baca laporan keseluruhan kedua-dua pihak bukan satu agensi sahaja," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, petang Rabu.

Pada Selasa, laporan Ketua Audit Negara menyatakan Jabatan Kastam memusnahkan sebanyak 7,659 pasang kasut kerana kesilapan spesifikasi.

Laporan tersebut juga menyatakan saiz kasut yang dikeluarkan tidak memenuhi keperluan pegawai dan ujian sampel yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Teknologi Pertahanan (STRIDE).

Ketika ditanya sama ada satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk menyiasat kes itu, Ahmad Maslan berkata: "Laporan audit yang dikeluarkan setiap tahun merupakan satu teguran membina kepada setiap agensi."

"Apa yang perlu diperbaiki harus diambil perhatian. Jika ada perkara tidak betul, kita ada kaedah lain untuk pastikan perkara itu diadili," katanya.

Beliau berkata apa yang membimbangkannya adalah berlaku berat sebelah dari segi laporan berita.

"Sesetengah akhbar melihat dari sudut tertentu. Kita dah alami perkara seperti ini sebelum ini. Oleh itu, kerajaan buat keputusan perlu ada penjelasan bersama daripada kedua-dua pihak supaya orang ramai mendapat maklumat yang ditepat," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan