Kementerian Lulus RM10 Juta, Sedia Van Kaunter Bergerak JPJ - Berita Semasa | mStar

Kementerian Lulus RM10 Juta, Sedia Van Kaunter Bergerak JPJ

Diterbitkan: Rabu, 2 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BESUT: Kementerian Pengangkutan meluluskan peruntukan berjumlah RM10 juta kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membeli 30 buah van untuk dijadikan kaunter bergerak 1JPJ, tahun ini.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata langkah itu bagi memastikan JPJ dapat mendekati masyarakat sesuai dengan slogan merakyatkan pentadbiran sebagaimana yang dilaungkan kerajaan, selama ini.

Katanya kesemua van yang dijadikan kaunter bergerak berkenaan akan dihantar ke semua negeri bagi memudahkan JPJ memberi khidmat terutama kepada masyarakat luar bandar.

"Buat masa ini, JPJ hanya mempunyai tiga buah van kaunter bergerak yang memberi khidmat di seluruh negara, walaupun kadangkala ia menghadapi masalah untuk memberi perkhidmatan sepanjang masa kepada masyarakat," katanya selepas merasmikan Program Ketua Pengarah JPJ Bersama Pelanggan di dewan Majlis Daerah Besut di sini Rabu.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah JPJ Datuk Ismail Ahmad.

Sehubungan itu, Hishamuddin meminta JPJ memperkemaskan perkhidmatannya dengan memastikan khidmat van kaunter bergerak yang bakal dilaksanakan itu membawa faedah kepada masyarakat.

Katanya, antara khidmat yang disediakan melalui perkhidmatan kaunter bergerak JPJ itu termasuk, memperbaharui lesen memandu, membayar saman, menukar lesen lama kepada yang baharu dan hal berkaitan pengangkutan. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan