KDN Bincang Dengan Jabatan Peguam Negara Isu Pindaan PCA - Ahmad Zahid

Diterbitkan: Rabu, 2 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perbincangan terperinci telah diadakan antara Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara dalam proses menggubal Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 sebelum dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa kerajaan tidak berbincang dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengenai rang undang-undang itu.

"Tidak benar tuduhan Peguam Negara tidak berbincang dengan kami. Malah kami adakan seminar dan forum dengan beberapa badan bukan kerajaan untuk mendapatkan maklum balas.

"Kita sama-sama rundingkan kerana kita tidak melakukan sesuatu secara semberono kerana apa yang kita lakukan adalah sesuatu yang dibuat untuk menangani permasalahan penjenayah," katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar rang undang-undang itu pada persidangan Dewan Rakyat di sini Rabu.

Beliau turut menegaskan pindaan yang dicadangkan itu tidak mempunyai niat tersurat untuk menahan mana-mana pemimpin politik yang mempunyai fahaman atau pandangan berbeza.

Ahmad Zahid berkata menteri tidak lagi mempunyai kuasa berbanding peruntukan membenarkan kuasa mutlak menteri untuk menandatangani arahan penahanan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 yang telah dimansuhkan.

"Dalam pindaan ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah arahkan Peguam Negara menyebut perkara itu kerana kerajaan tidak mahu diimplikasikan berlaku salah guna kuasa menteri," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan