Khazanah Ditegur 55 Lukisan Bernilai RM3.05 Juta Tidak Disimpan Dengan Teratur

Diterbitkan: Selasa, 1 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang menegur Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) kerana aset lukisannya bernilai RM3.05 juta tidak dipamer dan disimpan dengan teratur.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa, sebanyak 55 lukisan bernilai RM3.05 miliki Khazanah, antaranya dibeli sejak 2005 tidak dipamer dan tidak disimpan dengan teratur.

Laporan itu menyebut berdasarkan semakan senarai KNB Artwork setakat 15 Februari lepas dan Asset Inventory Listing setakat 31 Dis 2012, mendapati Khazanah mempunyai 93 lukisan bernilai RM6.40 juta.

"Lukisan ini masih disimpan di dalam bilik tanpa kaedah penyimpanan lukisan yang bersesuaian.

"Pada pendapat Audit, semua aset yang dibeli oleh syarikat perlu digunakan seperti mana justifikasi perolehannya dan disimpan dengan kaedah yang bersesuaian," menurut laporan itu.

Berdasarkan gambar yang disertakan dalam laporan audit itu menunjukkan lukisan-lukisan yang tidak dipamerkan itu diletak di dua bilik lukisan, di KLCC.

Menjelaskan isu itu, Khazanah dalam maklum balasnya berkata syarikat berkaitan kerajaan itu sedang dalam perancangan untuk meletakkan lukisan yang terdapat di dalam bilik itu di tingkat 32 dan di pejabat baharu Khazanah di luar negara.

Khazanah juga dalam perancangan untuk menukar lokasi sesetengah lukisan sedia ada untuk menambah dan mengemas kini hiasan dalaman di semua pejabat.

Syarikat itu turut memaklumkan bahawa projek pembesaran ruang simpanan lukisan telah diluluskan dan siap bulan lepas untuk membolehkan semua lukisan diletakkan di satu tempat dengan lebih teratur. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan