Guna Ruang Siber Tarik Perhatian Perwakilan

Diterbitkan: Selasa, 1 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Paparan skrin daripada klip video YouTube yang dimuat naik oleh LOkman dan Khairul (bawah) merupakan sebahagian daripada kempen mereka di media online.
Paparan skrin daripada klip video YouTube yang dimuat naik oleh LOkman dan Khairul (bawah) merupakan sebahagian daripada kempen mereka di media online.

PETALING JAYA: Untuk menarik perhatian kira-kira 75,000 perwakilan Pemuda Umno pada pemilihan parti kali ini, dua calon yang bertanding bagi jawatan timbalan ketua pemuda menjadikan Internet sebagai medium untuk meraih sokongan.

Lokman Noor Adam dan Khairul Azwan Harun menggunakan pelbagai platform sosial media untuk meraih sokongan daripada perwakilan.

Lokman telah mewujudkan saluran YouTube tersendiri untuk mempromosikan dirinya sendiri.

Salah satu klip videonya yang dimuat naik ialah: "Siapa calon terbaik?" memaparkan lakaran karikatur dan petikan ucapan-ucapannya dan ia telah ditonton sebanyak 4,903 kali.

"Saya berharap pendekatan kempen yang saya gunakan akan tersebar dan ia dapat diterjemahkan dalam kertas undi," kata Lolkman, 39, bekas Exco Pemuda Umno dan salah satu daripada empat calon yang bersaing untuk merebut jawatan Naib Ketua Pemuda.

Tiada apa yang dapat menewaskan sentuhan peribadi ketika berkempen namun usaha merayu undi menjadi lebih sukar kerana jumlah perwakilan yang lebih ramai akan mengundi pada pemilihan kali ini.

Bagi calon yang dikenali seperti Lokman, mereka tidak mempunyai masalah dengan menyertai sesi suai kenal calon yang diadakan di seluruh negara bagi memperkenalkan diri mereka, justeru selain daripada itu kempen media online menjadi pilihan. Lokman yang memiliki, ijazah sarjana dalam bidang pengurusan daripada Universiti Tun Abdul Razak, menjejaki popularitinya di alam maya dengan mengira berapa jumlah 'like' diterimanya dan artikel mengenainya 'dikongsi' di laman Facebook, tweet semula mesej di akaun Twitternya serta enjin pencarian namanya.

Sementara itu, seorang lagi calon, Khairul Azwan juga menggunakan media online sebagai medium kempennya.

Lebih dikenali sebagai '@Azwanbro', Khairul yang mempunyai tali persaudaraan dengan tokoh politik terkenal di tempat kelahirannya di Perak, merupakan Ketua Pemuda Umno negeri.

Khairul, 36, memilih media online kerana mahu mendapat liputan yang lebih menyeluruh dengan perwakilan termasuk daripada negeri lain.

Satu siri klip video di YouTube memaparkan beliau sebagai calon yang dapat membawa Pemuda Umno ke tahap yang lebih tinggi serta akauntan terlatih dari Britain ini menghadiri mesyuarat dan bergaul dengan orang kampung.

"Tidak mustahil untuk bertemu dengan semua jadi inilah caranya saya memperkenalkan diri. Ini adalah tambahan kepada sesi suai kenal dengan kumpulan kecil yang diadakan di mana saya boleh berkongsi pendapat untuk membawa perubahan kepada Pemuda Umno," kata Khairul.

Apa yang dilakukan oleh Lokman dan Khairul menyasarkan golongan muda yang menjadi ahli sayap Pemuda dan Puteri Umno terutamanya mereka yang melayari Facebook Umno.

Bagaimanapun, kedua-dua calon ini bersetuju bahawa cara lama iaitu bertemu secara bersua muka dengan perwakilan masih merupakan pilihan utama.

Khairul gembira dengan kempennya menggunakana media online memberi kesan positif namun dia berharap dapat mendekati lebih ramai perwakilan dalam sedikit masa lagi.

"Pengundi masih boleh bertemu, dan mendengar apa yang saya perjuangkan," kata Khairul.

Lokman berkata: "Tiada apa yang dapat mengalahkan pendekatan bersua muka namun media sosila sangat popular dikalangan generasi muda pada hari ini, kedua-dua pendekatan ini sangat penting bagi calon seperti kami."

Dengan kod tataetika yang ketat dikenakan terhadap calon bagi mengelakkan politik wang, Lokman berkata klip video YouTube nya telah dirujuk kepada jawatankuasa pemilihan parti untuk diputuskan.

"Jawatankuasa memutuskan bahawa klip video memperkenalkan diri sendiri adalah dibenarkan dan keputusan mereka telah disampaikan dalam mesyuarat Exco Pemuda yang terakhir," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan